Kerjasama ASEAN+3 tingkatkan kapasiti tangani impak Covid-19

Muhyiddin (tengah) mengikuti Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan pada hari keenam persidangan tersebut yang diadakan secara maya hari ini.
 -Foto Bernama
Muhyiddin (tengah) mengikuti Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan pada hari keenam persidangan tersebut yang diadakan secara maya hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama berkesan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) Campur Tiga (APT) ternyata akan membantu meningkatkan kapasiti mereka dalam menangani Covid-19, selain mengurangkan impaknya dan menggalakkan pemulihan serta pembangunan yang mampan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata menghadapi krisis lain, dalam bentuk Covid-19 yang tidak mengenal sempadan, kerjasama perlu terus diperkukuhkan dalam semua bidang dengan kepentingan bersama.

“Dalam konteks ini, Malaysia berpendapat bahawa kita perlu terus komited dengan memastikan pasaran kita terbuka, mengekalkan aliran perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan yang normal untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi serantau kita tanpa halangan yang tidak perlu kepada perdagangan atau gangguan kepada rantaian bekalan global.

“Kita perlu menstabilkan pembuatan dan pembekalan barangan dan perkhidmatan penting yang diperlukan untuk krisis ini, termasuk bekalan perubatan penting dan produk pertanian yang kritikal, selain mengekalkan dan mempelbagaikan rangkaian rantaian bekalan di rantau ini dan di luarnya,” katanya dalam ucapan intervensi pada Sidang Kemuncak APT yang diadakan secara maya, hari ini.

Sidang kemuncak itu dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc, yang juga Pengerusi ASEAN 2020.

Kerjasama APT, terdiri daripada negara-negara anggota ASEAN dan negara-negara Campur Tiga, iaitu China, Jepun dan Korea Selatan, dibentuk semasa krisis kewangan Asia 1997.

Dalam mengurangkan impak ekonomi, Muhyiddin berkata Malaysia berharap pemeteraian dan pelaksanaan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan memberi petunjuk penting mengenai kepentingan untuk mengukuhkan integrasi ekonomi serantau, dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

Beliau berkata, walaupun giat ke arah pemulihan ekonomi, bekalan makanan sebagai keperluan asas kehidupan juga perlu diberikan perhatian.

Artikel Berkaitan:

“Malaysia telah menyatakan kepentingan untuk kita bekerjasama antara satu sama lain, menggunakan Rizab Beras Kecemasan ASEAN+3 (APTERR) untuk menjamin keselamatan makanan.

“Ini akan membantu dalam memastikan bekalan makanan yang berterusan untuk rakyat yang terjejas teruk oleh kelembapan ekonomi semasa berikutan pandemik,” katanya.

Muhyiddin berkata, dalam menghadapi tempoh mencabar dan sukar ini, amat penting bagi APT terus meningkatkan kerjasama mereka dan menyokong antara satu sama lain.

“Kerjasama kita yang kukuh dalam menggalakkan keamanan dan kestabilan, selain kemakmuran ekonomi di rantau ini, tiada lain selain daripada untuk masa depan rakyat yang lebih baik dan lebih cerah di rantau ini,” katanya. - Bernama