Skim Peduli Kesihatan masih dalam fasa perintis: Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) masih dalam fasa projek perintis dan belum lagi dilancarkan sepenuhnya, demikian menurut Kementerian Kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pelancaran yang diadakan pada 28 Januari lepas merupakan sesi pelancaran media yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap skim PeKa B40.

"Kementerian Kesihatan buat masa ini mahu mengkaji penerimaan rakyat serta pemegang taruh lain terhadap skim ini. Penglibatan dan sokongan setiap pemegang taruh adalah amat penting bagi memastikan kejayaan skim PeKa B40, iaitu satu inisiatif yang memberi fokus kepada jalinan kerjasama awam - swasta melalui pembiayaan daripada dana kerajaan,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

PeKa B40 yang dibiayai sepenuhnya kerajaan dengan peruntukan permulaan RM100 juta dijangka mampu memanfaatkan 800,000 penerima.

Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) serta pasangannya yang berumur 50 tahun ke atas, layak menyertai skim itu secara automatik dan tiada pendaftaran diperlukan.

Dr Dzulkefly berkata bagi fasa projek perintis skim PeKa B40, pemegang taruh swasta yang akan terbabit dalam proses pemberian manfaat saringan kesihatan kepada pesakit adalah pemilik klinik perubatan am swasta dan syarikat makmal perubatan swasta.

"Selari dengan matlamat saya untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan primer di negara ini, skim PeKa B40 secara langsung akan mempertingkatkan kerjasama antara pengamal perubatan di klinik perubatan am swasta dengan pengamal perubatan di fasiliti perubatan kerajaan.

Skim PeKa B40 diuruskan sendiri oleh Kementerian Kesihatan melalui ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (PHCorp), sebuah syarikat 100 peratus milik kerajaan dan telah ditubuhkan sebagai syarikat yang tidak berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan.

Artikel Berkaitan:

"PHCorp bukan sebuah Managed Care Organisation (MCO) atau Third Party Administrator (TPA). Tujuan penubuhannya bagi meluaskan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dengan mengoptimakan penggunaan ekosistem pembekal kesihatan awam dan swasta sedia ada," katanya.

Katanya mulai bulan ini (Februari), kementerian akan mengadakan beberapa siri pertemuan bersama pihak pemegang taruh yang berkenaan untuk membincangkan penglibatan mereka dalam skim itu.

Tegas beliau, skim PeKa B40 ini akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kejayaan setiap fasa pelaksanaan serta membina asas skim PeKa B40 yang kukuh sebelum ia diperkembangkan kelak.

Pelaksanaan skim PeKa B40 merupakan komitmen kerajaan persekutuan untuk memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan beban kos sara hidup serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, katanya.- Bernama