KDNK suku ketiga 2020 catat penguncupan 2.7 peratus

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

SHAH ALAM – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2020 mencatatkan penguncupan 2.7 peratus memberikan petunjuk jelas negara berada dalam landasan yang tepat untuk pemulihan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Sri Mustapa Mohamed berkata, pencapaian itu disumbang oleh sektor pembuatan yang berkembang 3.3 peratus dan penguncupan yang lebih kecil di hampir kesemua sektor ekonomi utama.

Bagaimanapun katanya, sektor pembinaan yang menyumbang kepada kira-kira 10 peratus guna tenaga mengalami kemerosotan yang paling teruk antaranya kerana penurunan pelaburan sektor awam yang berterusan.

“Pelaburan awam kini penting dalam ekonomi membabitkan pelaburan daripada syarikat awam bukan kewangan (NFPC) yang menyumbang 57 peratus secara purata bagi lima tahun yang lepas.

"Perbelanjaan pembangunan kerajaan Persekutuan pula menyumbang 30 peratus serta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sebanyak 13 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapa memberitahu, dalam suasana kemelesetan ekonomi yang dihadapi sekarang, pelaburan awam mempunyai peranan yang lebih besar.

“Kerajaan melalui Belanjawan 2021 memperuntukkan RM69 bilion untuk melaksanakan projek pembangunan tahun 2021.

“Kebanyakan peruntukan untuk projek komited dan projek sambungan seperti pembinaan hospital, menaik taraf kemudahan kesihatan, pembinaan sekolah, menaiktaraf sekolah daif, dan jalan raya yang perlu diteruskan pelaksanaan. Projek-projek ini memberikan kesan pengganda yang besar kepada ekonomi.

Artikel Berkaitan:

“Bagi tahun 2020, sebanyak RM64.96 bilion perbelanjaan pembangunan telah diperuntukkan. Setakat 8 November lalu, 80.6 peratus telah dibelanjakan,” katanya.

Dalam masa sama, Mustapa berkata, beliau dan Ketua Setiausaha Negara akan mempengerusikan satu mesyuarat dalam masa yang terdekat untuk membincangkan pelan pelaksanaan bagi memastikan projek bagi tahun 2020 dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Mesyuarat yang turut disertai oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan beberapa kementerian yang utama akan membincangkan pelan pelaksanaan dan pemantauan projek pembangunan 2021.

“Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Kerajaan telah memperuntukkan RM4 bilion untuk projek-projek yang dilaksanakan oleh kontraktor kelas G1 dan G2.

“Dalam Belanjawan 2021 pula, sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan. Ini akan memanfaatkan kira-kira 54,000 kontraktor kelas G1 dan 24,000 kontraktor kelas G2 di seluruh negara,” katanya.

Jelasnya, pelaksanaan projek fizikal bersaiz kecil dan sederhana penting bagi menjana aktiviti ekonomi peniaga kecil seperti kedai perkakasan dan perkhidmatan berkaitannya.

“Ini akan memberi kesan pengganda ekonomi yang besar khususnya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar. Walaupun ekonomi telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan, keadaan ini masih jauh daripada keadaan sebelum krisis.

“Ini kerana vaksin Covid-19 masih belum berjaya dengan sepenuhnya dan sempadan negara masih ditutup. Oleh itu, dalam menjalani kehidupan normal baharu ‘bersama’ Covid-19, kita perlu terus mencari jalan yang kreatif untuk memastikan kelangsungan ekonomi tidak terjejas,” katanya.