Kes dadah: Syarikat nafi ada kaitan dengan Datuk Seri

Zalina bersama Nik Saiful Adli menunjukkan posting tular di media sosial yang mengaitkan Ey Beauty Empire pada sidang akhbar di Kota Bharu hari ini.
Zalina bersama Nik Saiful Adli menunjukkan posting tular di media sosial yang mengaitkan Ey Beauty Empire pada sidang akhbar di Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - EY Beauty Empire Sdn Bhd menafikan syarikat itu mempunyai kaitan dengan seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang ditahan bersabit kes pengedaran dadah bernilai RM5 juta di Shah Alam pada Selasa lalu.

Pengarahnya, Zalina Zahari berkata, pihaknya juga mengesahkan bahawa lelaki berkenaan bukanlah ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat terbabit sepertimana ditularkan di media sosial sejak semalam.

“Saya ingin menjelaskan bahawa EY Beauty Empire dimiliki oleh saya secara berseorangan, diasaskan menggunakan modal daripada saya sendiri dan beroperasi sejak Jun lalu.

“Penglibatan individu bergelar Datuk Seri itu adalah untuk promosi dan pelancaran produk semata-mata tanpa menjejaskan pemilikan syarikat mahupun bidang perniagaan syarikat saya,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir bersama suami, Hazilan Abdul Aziz dan peguam, Nik Saiful Adli Burhan.

Zalina (tengah) bersama Nik Saiful Adli (kiri) dan Hazilan menunjukkan laporan polis berkaitan fitnah terhadap syarikatnya, Ey Beauty Empire pada sidang akhbar di Kota Bharu hari ini.
Zalina (tengah) bersama Nik Saiful Adli (kiri) dan Hazilan menunjukkan laporan polis berkaitan fitnah terhadap syarikatnya, Ey Beauty Empire pada sidang akhbar di Kota Bharu hari ini.

Beliau turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Bharu di sini berhubung perkara berkenaan.

Sejak semalam tular di media sosial yang mengaitkan EY Beauty Empire antara yang mempunyai kaitan dengan individu terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zalina berkata, sepanjang berurusan dengan individu berkenaan, beliau hanya dimaklumkan lelaki itu menjalankan perniagaan kontraktor pembinaan serta terlibat perniagaan balak dan kayu gaharu.

“Tidak berada dalam pengetahuan saya berhubung penglibatan beliau dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang sehingga ia dilaporkan dalam berita semalam.

“Saya sebagai pengarah syarikat terpanggil untuk menjelaskan kepada umum serta menafikan segala kaitan syarikat saya dengan aktiviti pengedaran dadah sebagaimana disebut-sebut di media sosial sejak semalam,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Usahawan kosmetik diberkas disyaki terlibat sindiket dadah antarabangsa

Zalina berkata, EY Beauty Empire masih lagi kekal menjalankan perniagaan berasaskan kosmetik dan minuman, bahkan tidak sesekali menyokong mana-mana individu yang menjalankan aktiviti bertentangan dengan undang-undang.

ZALINA ZAHARI
ZALINA ZAHARI

“Saya juga memohon warga maya, pengguna Facebook, Instagram dan media sosial lain untuk berhenti mengaitkan EY Beauty Empire dengan kegiatan dadah dan apa juga perkara menyalahi undang-undang.

“Kami menganggap ini satu fitnah yang berniat jahat dan boleh menjatuhkan nama EY Beauty Empire serta produk-produk kami di mata masyarakat,” katanya.

Zalina juga meminta warganet memadamkan posting fitnah yang dibuat itu sebelum beliau mengambil tindakan undang-undang.