Perlu dapat pengesahan JIM untuk gajikan PATI secara sah

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Majikan yang berhasrat menggajikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja diminta mendapatkan pengesahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terlebih dahulu.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengesahan tersebut perlu dilakukan sebelum majikan membuat permohonan perakuan rekalibrasi dengan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Menurut KSM, program itu untuk meregularisasikan PATI yang ada dalam negara sebagai pekerja asing yang sah.

"Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah mengumumkan pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI dengan kerjasama strategik KSM.

"Pelan Rekalibrasi PATI ini membabitkan dua komponen utama program khas iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

"KSM menerusi JTKSM terlibat dalam melaksanakan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja," kata kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut KSM berkata, permohonan perakuan rekalibrasi di JTKSM boleh dibuat secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) di laman sesawang www.eppax.gov.my mulai 16 November ini.

Pada Khamis lalu, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Pelan Rekalibrasi Pati bermula 16 November ini hingga 30 Jun tahun depan bagi memulihkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Pelan tersebut mempunyai dua komponen iaitu Program Rekalibrasi Pulang yang membenarkan PATI pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan.

Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula khas untuk membolehkan pekerja asing sedia ada di negara ini diambil bekerja secara sah oleh majikan.