PKPB: Pasar Payang kembali suram

Peniaga masih membuka gerai walaupun pelanggan berkurangan.
Peniaga masih membuka gerai walaupun pelanggan berkurangan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Peniaga di Pasar Payang kini kembali gusar apabila pelanggan mula berkurangan sejak pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula Isnin lalu.

Malah, tinjauan Sinar Harian di lokasi tumpuan pelancong itu hari ini mendapati, aktiviti perniagaan suram dan kebanyakannya hanya tertumpu pada jualan barangan makanan kering dan basah.

Peniaga batik, Kamariah Abu Bakar, 45, berkata, ada antara peniaga sudah mula menutup kedai selepas waktu Zuhur kerana kekurangan pelanggan.

Kamariah
Kamariah

"Hari pertama PKPB boleh dikatakan tiada orang yang datang membeli, mujurlah sehari selepas tu baru ada orang nak membeli. Sebagai peniaga, kita memang datang berniaga setiap hari tidak kira ada pelanggan atau tidak.

"Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), perniagaan kembali pulih tapi bila PKPB semula, kami peniaga kembali runsing.

"Mujurlah sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, saya ambil inisiatif untuk aktif berniaga dalam talian. Ia sedikit sebanyak membantu meningkatkan pendapatan kami," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga kuih, Ibrahim Jusoh, 66, berkata, dia terpaksa mengurangkan sehingga 40 peratus jualan kuihnya bagi mengelakkan kerugian.

Artikel Berkaitan:

Ibrahim
Ibrahim

Katanya, kebanyakan pelanggan di Pasar Payang adalah pelancong dari luar seperti dari Selangor dan Kuala Lumpur.

"Pelanggan tak datang, jadi pendapatan peniaga menurun. Bila PKPB mula dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, memang kita peniaga di sini sudah mula rasa kesannya.

"Semasa PKPP, peniaga Pasar Payang ibarat menerima durian runtuh kerana pertambahan jumlah pelancong kerana mereka beralih ke Terengganu.

"Saya harap semua pihak ambil peranan agar ia (wabak koronavirus) cepat berakhir dan dan kami dapat berniaga seperti biasa," katanya.

Kamariah mengemas batik jualannya, sambil menunggu pelanggan datang
Kamariah mengemas batik jualannya, sambil menunggu pelanggan datang