Dua pelajar sekolah ditahan bersama mercun

Mercun yang dirampas dari dua pelajar malam tadi.
Mercun yang dirampas dari dua pelajar malam tadi.
A
A
A

KEPALA BATAS - Dua pelajar lelaki ditahan selepas pemeriksaan mendapati kedua-duanya membawa 15 biji mercun bola dan 18 kotak kecil bertulis 'Happy Bom Cracker'.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kedua-dua pelajar berusia 15 dan 16 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah motosikal di Permatang Sintok, di sini.

Menurutnya, mereka ditahan sepasukan polis dalam Op Cahaya pada jam 10.30 malam tadi.

"Kedua-dua pelajar yang masih bersekolah itu dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan lain, 30 individu iaitu 23 lelaki dan tujuh wanita tempatan dikompaun dalam penugasan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa lokasi malam tadi.

30 individu dikompaun RM1,000 kerana melanggar SOP PKPB di beberapa lokasi malam tadi.
30 individu dikompaun RM1,000 kerana melanggar SOP PKPB di beberapa lokasi malam tadi.

Noorzainy berkata, kesemua mereka yang berusia lingkungan 17 hingga 50 tahun itu dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Lokasi pertama adalah di pasar awam di Butterworth yang mana dua lelaki didapati tidak mendaftar nama serta tidak mengambil suhu badan. Lokasi kedua adalah di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Butterworth.

"Di stesen itu, dua wanita dikompaun selepas didapati cuba merentas negeri ke Bagan Serai tanpa kebenaran dengan menggunakan perkhidmatan awam itu," katanya.

Tambahnya, 11 lelaki dikompaun di sebuah kafe di Bandar Putra, Bertam kerana berada di premis tersebut selepas jam 10 malam.

"Daripada 11 lelaki itu, salah seorang daripadanya adalah penjaga premis turut dikompaun kerana menjalankan perniagaan melebihi waktu ditetapkan.

"15 individu turut dikompaun di sebuah kafe lain di Jalan Raja Uda kerana kesalahan sama iaitu berada di premis tersebut melebihi waktu dibenarkan," katanya.