Usaha atasi banjir di ibu kota

Annuar (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir di Kampung Baru hari ini.
Annuar (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir di Kampung Baru hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membina projek tebatan banjir dan naik taraf sistem perparitan melalui peruntukan sebanyak RM150 juta.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerja-kerja membesarkan dan mendalamkan 16 kolam takungan banjir sedang giat dilaksanakan.

Selain itu menurutnya, kawasan lombong, kolam atau tasik yang sesuai untuk dijadikan kolam takungan banjir sedang dikenal pasti sebagai tambahan kepada kolam sedia ada.

"DBKL turut mensyaratkan setiap pemaju perumahan baharu wajib menyediakan kolam takungan banjir di kawasan perumahan yang akan dibangunkan.

"Walaupun keperluan ini memerlukan kos yang tinggi namun ia perlu dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

"DBKL akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan parit dan longkang sekurang-kurangnya sebulan sekali, " katanya pada majlis penyerahan sumbangan kepada 76 keluarga mangsa banjir kilat di Dewan Serbaguna Kampung Baru di sini hari ini.

Pada masa sama katanya, DBKL juga dalam perancangan membangunkan sistem amaran banjir yang berintegrasi bersama sistem maklumat pengangkutan bersepadu (ITIS) bagi mewujudkan Sistem Amaran Awal Banjir.

Beliau berharap, lokasi hotspot banjir disediakan kamera litar tertutup (CCTV) selain kerjasama antara DBKL dengan Jabatan Meteorologi dan pihak berkaitan untuk membangunkan sistem itu.

Artikel Berkaitan:

"Sistem ini diwujudkan bagi memberi amaran awal kepada penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi dan dapat membantu mereka bertindak awal menyelamatkan diri serta barangan penting sekiranya berlaku banjir kilat.

"Melalui sistem ini pengguna jalan raya juga boleh mengelak daripada menggunakan laluan yang sudah ditenggelami air," katanya.

Melalui program itu, seramai 72 keluarga dan empat individu bujang menerima wang tunai RM2,500 dan RM2,300 sumbangan bersama Istana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma ), KWP, DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Kebanyakan penduduk yang terlibat banjir kilat ialah mereka yang tinggal sekitar Jalan Raja Bot, Jalan Raja Alang, Jalan Raja Mahadi, Jalan Raja Muda Musa dan Kampung Periuk di Kampong Bharu.