Tolak khabar angin jadi calon PRK Batu Sapi

Khairul Firdaus
Khairul Firdaus
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan hari ini menolak khabar angin berkaitan dirinya sebagai bakal calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

Bagaimanapun beliau yang mengakui belum membuat persiapan PRK akan menyerahkan sebarang keputusan kepada pimpinan tertinggi Bersatu Sabah.

"Tidak ada sebarang persediaan dilakukan untuk menghadapi PRK," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Diminta mengulas berhubung sokongan daripada pelbagai pihak dan akar umbi di Batu Sapi terhadapnya, beliau menegaskan setakat ini beliau kekal berkhidmat hanya sebagai Ketua Bahagian di Batu Sapi.

"Saya tidak tahu akar umbi mana (yang menyokong) tetapi setakat i saya berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Batu Sapi.

"Apa yang Datuk Bung (Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin) perkatakan, secara logiknya kita semua dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu pasukan, itu yang akan berlaku (menyokong).

"Mungkin sesiapa pun calon di bawah kerjasama bumbung GRS, semua harus disokong," katanya.

Khairul Firdaus percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) supaya kejadian sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini tidak berulang.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, timbul desas desus bahawa Khairul Firdaus akan bertanding dalam PRK Batu Sapi dan semalam Bung Moktar menyatakan sokongan beliau jika ada calon daripada Bersatu.

Bagaimanapun, sehingga kini Bersatu Sabah yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Mohd Noor belum mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada akan bertanding atau sebaliknya manakala beberapa rakan dalam GRS seperti BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sudah menyatakan pendirian untuk tidak bertanding dalam PRK itu.

SPR sebelum ini menetapkan 5 Disember sebagai tarikh mengundi bagi PRK Batu Sapi selepas penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober lalu.