Satu daripada dua pesakit tidak tahu hidap diabetes

Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Noor Hisham Abdullah
Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menganggarkan seramai 3.9 juta atau 18.3 peratus penduduk Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes pada tahun 2019.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 11.2 peratus pada 2011 dan 13.4 peratus pada 2015.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, dianggarkan satu daripada dua pesakit (atau 50 peratus) tidak mengetahui mereka menghidap penyakit diabetes sehingga saringan gula dalam darah dilakukan.

Beliau berkata, Laporan National Diabetes Registry 2013 – 2019 pula menganggarkan hanya 32.4 peratus pesakit diabetes yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan mencapai tahap kawalan diabetes yang optimum.

“Penyakit diabetes bukan sahaja memberikan kesan yang negatif terhadap kualiti hidup dan kos penjagaan kesihatan. Ia juga menambah beban ekonomi individu, keluarga dan masyarakat serta mengurangkan produktiviti negara.

“Pada tahun 2017, dianggarkan jumlah beban penyakit tidak berjangkit utama (kardiovaskular, diabetes dan kanser) terhadap ekonomi negara ialah sebanyak RM100 bilion bersamaan 7.35 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan diabetes menyumbang sebanyak RM10 bilion daripada jumlah tersebut.

“Daripada segi kos produktiviti, kerugian sebanyak RM5.7 bilion dilaporkan akibat penyakit diabetes berbanding dengan penyakit kardiovaskular (RM2.9 bilion) dan kanser (RM357 juta),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada hari ini dengan tema 'Diabetes: Jururawat Nadi Perubahan'.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kebanyakan kes diabetes boleh dicegah melalui amalan gaya hidup sihat dan penyakit itu boleh dikesan awal dengan saringan berkala.

“Untuk pesakit diabetes pula, kepatuhan terhadap rawatan dan nasihat anggota kesihatan serta amalan gaya hidup sihat mampu mengawal diabetes ke tahap yang optimum dan mencegah komplikasi,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merangka pelbagai program dan aktiviti yang berkaitan dengan pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit.

Katanya, ia termasuk memperkukuhkan semula program Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) di peringkat komuniti bagi mempromosikan cara hidup sihat dan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit dalam kalangan masyarakat setempat di seluruh negara.

“Sukarelawan di peringkat komuniti telah dilatih melalui Kospen. Program intervensi ini akan dijalankan dengan lebih efektif dan meluas ke arah memperkasakan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

“Negara sedang dilanda wabak pandemik Covid-19 yang belum nampak tanda-tanda ia akan berakhir dalam masa terdekat. Kajian menunjukkan individu berusia, obes, pesakit diabetes dan hipertensi berisiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 lebih serius dan boleh membawa maut,” katanya.