Lebih ramai bakal nikmati pengeluaran akaun satu KWSP: Tengku Zafrul

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada sidang media mengenai Belanjawan 2021 di Wisma Bernama hari ini. -Foto Bernama
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada sidang media mengenai Belanjawan 2021 di Wisma Bernama hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Kewangan (MOF) tidak menolak kemungkinan jumlah rakyat yang akan menikmati pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melebihi daripada jumlah sasaran sebelum ini iaitu 600,000 orang.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan untuk memperluaskan pengeluaran daripada sasaran awal itu dibuat selepas kerajaan mendengar keluhan rakyat.

"Jadi sekarang kita tunggu dalam beberapa hari lagi. Insya-ALLAH saya dengan pihak KWSP akan dapat mengumumkan. Insya-ALLAH kita boleh luaskan kepada lebih ramai lagi rakyat Malaysia.

"Kita juga akan memberi penjelasan secara terperinci kenapa kita buat demikian," katanya pada temu bual khas di Wisma Bernama di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, secara dasarnya kerajaan amat berat untuk membuat keputusan tersebut kerana bimbang dengan simpanan masa depan rakyat.

Bagaimanapun katanya, kerajaan dalam masa sama tetap mendengar keresahan rakyat mengenai kebenaran pencarum mengeluarkan wang daripada akaun satu KWSP dengan cara bersasar seperti yang diumumkan beliau dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini.

"Kita masih lagi berunding (dengan KWSP) dan saya masih mendengar ada keluhan, keresahan dan rayuan daripada rakyat mengenai pengeluaran akaun satu ini. Jadi saya masih lagi dalam proses perbincangan dengan KWSP untuk bagaimana memperluaskan.

"Setakat ini sasarannya masa saya berucap itu (bentang Belanjawan 2021) lebih kurang 600,000 yang akan dapat keluarkan wang mereka daripada akaun satu (iaitu) sebanyak 500 sebulan selama 12 bulan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi jumlahnya RM6,000 yang mereka boleh keluarkan, campur lagi dengan akaun dua itu RM12,000," katanya.

Justeru beliau berkata, perkembangan pengeluaran akaun satu KWSP akan diumumkan dalam masa terdekat ini.