Siasat punca jangkitan kluster Padang

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Punca jangkitan Kluster Padang iaitu kluster terbaru di negeri ini bermula 9 November lalu masih disiasat dan saringan kontak giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, sehingga semalam kumulatif kes positif bagi Kluster Padang kekal sebanyak 16 kes.

Beliau berkata, bagi kluster lain jumlah kes sehingga semalam masih sama melibatkan Kluster Meldrum dengan tujuh kes, Kluster Bayu (lapan kes) dan Kluster Kempas (55 kes).

"Terdapat tiga kes baharu yang dilaporkan semalam dikesan hasil saringan kontak rapat. Ini menjadikan kumulatif kes koronavirus (Covid-19) yang dilaporkan adalah sebanyak 970 kes dengan 21 kematian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya sebanyak 895 kes telah pulih iaitu 92.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala 54 kes Covid-19 yang aktif dan telah pun diasingkan serta diberi rawatan di hospital.

Keadaan semasa di negeri ini katanya, masih lagi terkawal namun berharap masyarakat memberi kerjasama penuh kepada jabatan yang berkaitan untuk melakukan tugas mereka.

Menurut beliau, kerajaan negeri membenarkan had satu pertiga daripada kapasiti dewan atau ruang ibadat dengan penjarakan fizikal bagi aktiviti di rumah ibadat bukan Islam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jelasnya, aktiviti di rumah ibadat bukan Islam perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pembukaan Rumah Ibadat yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk sempena Deepavali.

Artikel Berkaitan: