Pulau Pinang catat 1,424 kes libatkan tujuh kluster aktif

Jagdeep bersama Tung Seang meninjau TPS Taman Free School pagi tadi.
Jagdeep bersama Tung Seang meninjau TPS Taman Free School pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang mencatatkan 1,424 kes positif wabak koronavirus (Covid-19) dengan melibatkan tujuh kluster aktif yang dilaporkan sehingga semalam.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah itu diperoleh menerusi 13,408 saringan yang dijalankan ke atas individu yang terlibat dengan kluster tersebut.

Menurutnya, tujuh kluster aktif tersebut adalah Kluster Intan, Bayan, Permatang, Alma, Penjara Reman Pulau Pinang, Penjara Seberang Perai dan Tembaga.

"Jumlah keseluruhan yang disaring sehingga semalam ialah 13,408 dan jumlah yang dikesan positif Covid-19 ialah 1,424," katanya kepada pemberita di Pasar Awam Taman Free School, di sini hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang.

Jagdeep berkata, kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di negeri ini terus konsisten dengan 1.08 juta pemeriksaan dijalankan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan.

"Sehingga kelmarin, sebanyak 429,082 pemeriksaan oleh MBPP dengan pematuhan 99.69 peratus dan 650,680 pemeriksaan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan pematuhan 99.35 peratus," katanya.

Mengulas mengenai penutupan Tapak Penjaja Sementara (TPS) Taman Free School selama 14 hari bermula semalam, Jagdeep berkata, penutupan itu bagi membolehkan ujian saringan dijalankan ke atas peniaga di situ.

Artikel Berkaitan:

"Ia juga bagi membolehkan proses sanitasi dijalankan di seluruh kawasan tersebut oleh MBPP. TPS Taman Free School mempunyai 136 gerai aktif kesemuanya.

"Bahagian yang telah ditutup sementara melibatkan bahagian pasar pagi sahaja yang mengandungi 68 buah gerai dan melibatkan 72 peniaga," katanya.

Menurutnya, penutupan TPS Taman Free School itu adalah selaras dengan komitmen serta usaha tegas kerajaan negeri dalam memastikan keselamatan dan kesihatan awam seluruh rakyat Pulau Pinang terpelihara.

"Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan bagi menutup mana-mana kemudahan awam bagi tujuan memastikan semua SOP dipatuhi. Sehingga hari ini, 53 premis di seluruh negeri ini termasuk pelbagai restoran, pasar, astaka makanan dan gerai telah ditutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

"MBPP juga telah menutup 13 premis lain kerana gagal mematuhi SOP," katanya.