'Jangan tembak burung pungguk jelapang'

IADA Pekan rekod satu kes burung punggut jelapang ditembak di sawah di Pahang Tua, kelmarin.
IADA Pekan rekod satu kes burung punggut jelapang ditembak di sawah di Pahang Tua, kelmarin.
A
A
A

KUANTAN - Perbuatan menembak seekor burung pungguk jelapang di kawasan penanaman padi di Pahang Tua, Pekan merupakan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab.

Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Muhamad Khalil Idris berkata, ia menjadi kes pertama selepas membangunkan 320 rumah burung itu sejak 2016.

Menurutnya, spesis itu bermanfaat mengawal populasi tikus secara biologi kerana seekor burung mampu memakan empat hingga lima ekor tikus sehari dan aktif pada waktu malam.

"Kita cuba mengesan individu berkenaan dan berharap kes ini tidak berulang kerana bukan mudah untuk menempatkan burung berkenaan di kawasan sawah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menemui burung pungguk dewasa itu dalam keadaan tidak bermaya berikutan kecederaan pada bahagian kepak sehingga menyebabkan ia tidak boleh terbang untuk mencari makan dan balik ke sarang.

"Kita berusaha menyelamatkan burung berkenaan di klinik Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang namun mati selepas beberapa hari menerima rawatan.

"Punca kematian kerana kecederaan yang serius pada bahagian kepaknya selain jangkitan kuman pada bahagian luka," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Khalil berkata, di kawasan jelapang padi Pahang Tua terdapat banyak burung pelbagai spesies yang menjadikan tempat itu sebagai habitat semula jadi.

Artikel Berkaitan:

"Setiap rumah mampu menempatkan seekor burung dan rumah itu ditempatkan di setiap 20 hingga 40 hektar sawah," katanya.