Jadikan masjid sebagai pusat pembelajaran komuniti: Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kanan) berkenan berangkat meninjau kerja-kerja pembinaan menyiapkan Masjid Al-Munir yang baharu, di Batu 5, Jalan Kuala Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kanan) berkenan berangkat meninjau kerja-kerja pembinaan menyiapkan Masjid Al-Munir yang baharu, di Batu 5, Jalan Kuala Perlis.
A
A
A

KUALA PERLIS - Masjid di seluruh Perlis disaran berperanan sebagai pusat sokongan kecemerlangan pendidikan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, agar institusi masjid turut menjayakan usaha mewujudkan pusat pembelajaran komuniti kalangan pelajar sekolah.

Baginda bertitah, masjid harus memainkan peranan sebagai pusat komuniti yang dekat dengan masyarakat.

"Manurut kajian, hanya 60 peratus pelajar di Perlis mempunyai kemudahan jaringan internet manakala sekurang-kurangnya 40 peratus lagi tidak berupaya meneruskan pembelajaran secara dalam talian.

Dengan mengupayakan masjid, ia dapat mengurangkan jurang antara pelajar yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet yang digunakan meluas dalam pengajaran dan pembelajaran dari rumah," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yakin, jika usaha ini dilaksanakan, akses kepada pendidikan dapat dipertingkatkan dan mengoptimumkan peluang mengikuti pendidikan meskipun tidak dapat hadir ke sekolah.

"Perkara ini juga selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025," titah baginda.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau kerja-kerja pembinaan menyiapkan Masjid Al-Munir yang baharu, di Batu 5, Jalan Kuala Perlis.

Artikel Berkaitan:

Keberangkatan tiba baginda diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Baginda turut dipersembahkan taklimat berkaitan masjid baru itu oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Ir Syed Zubir Syed Husin.

"Masjid berkeluasan 1,293 meter persegi dengan keluasan ruang solat 378 meter persegi mampu memuatkan 1,000 jemaah," katanya.

Syed Zubir berkata, laporan kemajuan kerja fizikalnya kini pada tahap 60 peratus dan dijangka siap pada 22 Februari 2021.