Pendaftaran Bantuan Sara Hidup 2019 fasa kedua dibuka

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan tempoh pendaftaran bantuan Sara Hidup (BSH) bagi tahun 2019 telah dibuka mulai 1 Februari hingga 15 Mac ini.

Menurutnya, bayaran BSH selanjutnya untuk tahun ini dijadualkan pada Mei 2019 untuk fasa kedua dan seterusnya pada bulan Ogos 2019 untuk fasa ketiga.

Tambahnya, untuk menerima bayaran BSH 2019 selanjutnya, pemohon yang layak (isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan) perlu mendaftar dan mengemaskinikan maklumat isi rumah.

“Bayaran fasa pertama BSH 2019 telah dilaksanakan pada 28 Januari lepas dan telah memanfaatkan empat juta isi rumah dengan bayaran RM300 bagi setiap isi rumah, melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

“Pendekatan BSH adalah selaras dengan keprihatinan kerajaan untuk menyasarkan bantuan hanya kepada golongan yang layak menerimanya iaitu golongan yang amat perlukan bantuan bagi menghadapi kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baharu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.

Jelasnya, kaedah baharu itu termasuklah pengenalan kadar tambahan mengikut bilangan anak bawah tanggungan.

“Kementerian Kewangan akan mewujudkan jalinan usahasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri yang pernah menjalankan kerja pendaftaran sebelum ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan itu memberitahu kadar inflasi negara pada tahun 2018 adalah hanya pada tahap satu peratus berbanding dengan 3.7 peratus untuk tahun 2017.

Tegasnya, ia menunjukkan bahawa langkah kerajaan menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berkesan dalam menyederhanakan kenaikan harga.

“Kerajaan akan terus berusaha untuk mengurus perkara ini melalui langkah seperti BSH dan mengadakan kajian khas terhadap struktur kos yang menyebabkan kenaikan harga sesetengah barangan keperluan naik lebih tinggi daripada kadar inflasi rasmi.

“Usaha-usaha ini dilakukan demi membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup serta memastikan kenaikan harga barang keperluan terkawal,” ujarnya.

Pemohon yang layak boleh mengemaskini maklumat isi rumah dengan mendapatkan Borang permohonan BSH 2019 secara percuma di mana-mana Cawangan LHDNM, Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDNM atau di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Pemohon juga boleh memuat turun borang permohonan di portal rasmi BSH di https://bsh.hasil.gov.my atau dibuat secara dalam talian di Portal Rasmi BSH.