Covid-19: 1,228 dikuarantin di 14 stesen kuarantin di Johor

Seramai 1,228 individu ditempatkan di 14 stesen kuarantin di seluruh Johor sehingga semalam. (Gambar hiasan)
Seramai 1,228 individu ditempatkan di 14 stesen kuarantin di seluruh Johor sehingga semalam. (Gambar hiasan)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 1,228 individu ditempatkan di 14 stesen kuarantin di seluruh Johor sehingga semalam.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, mereka ditempatkan di empat Institut Latihan Awam (ILA) dan 10 hotel.

"Perkembangan dan laporan harian stesen kuarantin berkenaan akan dilakukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, sehingga semalam jumlah kluster aktif di negeri ini kekal empat iaitu Kluster Meldrum yang menyumbang tujuh kes, Kluster Bayu (lapan kes), Kluster Kempas (55 kes) dan Kluster Padang (16 kes).

Beliau memberitahu, tiada pertambahan kes bagi kluster Meldrum, Kluster Bayu dan Kluster Kempas.

Menurutnya, bagi kluster baharu yang dilaporkan iaitu Kluster Padang, kumulatif kes positif sehingga semalam melibatkan 16 kes.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan. Pengesanan dan saringan kontak masih giat dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah terlibat," katanya.

Vidyananthan berkata, terdapat lapan kes baharu dilaporkan semalam iaitu tiga kes dilaporkan daripada kluster sedia ada, empat kes hasil saringan kontak rapat dan satu kes lagi dikesan hasil saringan SARI.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ini menjadikan kumulatif kes koronavirus (Covid-19) yang dilaporkan setakat ini berjumlah 967 kes dengan 21 kematian.

"Sebanyak 892 kes telah pulih iaitu 92.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes dengan 54 kes yang aktif dan telah pun diasingkan dan diberi rawatan di hospital," katanya.

Mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru, beliau berkata, seramai 1,291 penghuninya sudah disaring setakat ini.

Selain itu katanya, seramai 512 anggota dan keluarga di luar ILKKM tersebut juga dijalankan saringan dengan PKPD di institusi tersebut dijangka tamat pada 15 November ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi sambutan Deepavali, kerajaan bersetuju membenarkan penganut Hindu mengikuti sesi upacara sembahyang pada hari pertama perayaan tersebut dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ujarnya, ini termasuk kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sesi upacara sembahyang perlu diadakan bermula jam 7 pagi sehingga jam 12 tengah hari dengan pembahagian sebanyak lima sesi sahaja (30 minit setiap sesi) dan diselangi operasi sanitasi selama 30 minit sebelum memulakan sesi baharu," katanya.