Covid-19: Sabah kembali catat kes tinggi

Sabah kembali mencatat kes yang tinggi iaitu sebanyak 556 kes baharu.
Sabah kembali mencatat kes yang tinggi iaitu sebanyak 556 kes baharu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Selepas empat hari berturut-turut Sabah mencatat penurunan kes positif koronavirus (Covid-19) di bawah 500 kes, hari ini Sabah kembali mencatat kes yang tinggi iaitu sebanyak 556 kes baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 199 kes adalah daripada saringan kontak rapat dari empat daerah di negeri ini.

"Daripada 556 kes positif Covid-19 hari ini, sebanyak 199 kes atau 35.79 peratus adalah dari Tawau, Kota Kinabalu, Tuaran dan Sandakan yang berpunca daripada saringan kontak rapat manakala selebihnya iaitu 357 kes adalah daripada lain-lain kategori.

"Sandakan merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 223 kes dan daripada jumlah ini, 87 kes adalah daripada saringan kontak rapat, Kluster Bonggaya (33), Kluster Karamunting (31), Kluster Jambatan 2 (18), Kluster Mesra (17) dan Kluster Samudera (16).

"Selain itu, saringan sebelum bekerja catat lapan kes, saringan bergejala (6), Kluster Penjara (3), Kluster Tinusa (2) dan saringan komuniti serta Sign Off masing-masing catat satu kes," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Untuk rekod, Sabah mula mencatat penurunan kes positif Covid-19 sejak Isnin lalu iaitu sebanyak 370 kes dicatatkan, diikuti 397 kes pada Selasa, 259 kes pada Rabu dan semalam 319 kes dilaporkan.

Dalam pada itu, Masidi turut memaklumkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) di Sabah sehingga 9 November lalu adalah 1.03.

"Ini bermaksud seorang kes positif boleh menjangkiti seorang lagi individu lain atau kontak rapat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beliau turut memaklumkan, jumlah kes mengikut daerah di Sabah hari ini selain Sandakan adalah Kota Kinabalu mencatat 104 kes, diikuti Tawau (59), Semporna (43), Tuaran (38), Kudat (23), Lahad datu (20), Penampang (16), Keningau (12), Putatan (7), Papar (5), Kota Belud (3), Kota Marudu, Tambunan dan Tongod masing-masing catat satu kes.