KDNK suku ketiga pamer pemulihan padu

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prestasi ekonomi negara pada Suku Ketiga 2020 mencerminkan pemulihan padu susulan pembukaan semula ekonomi selepas pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan keadaan permintaan luaran yang bertambah baik, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Asas sistem ekonomi dan kewangan Malaysia tetap kukuh. Telah berulang kali, negara kita membuktikan daya tahannya dalam menghadapi ketidakstabilan dan kesukaran dari faktor luaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, penurunan kadar pengangguran kepada 4.7 peratus pada Suku Ketiga daripada 5.1 pada Suku Kedua 2020 menunjukkan keberkesanan langkah-langkah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS+, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kita Prihatin untuk menyelamatkan dan menjana pekerjaan semasa tempoh pandemik, serta meletakkan negara di landasan pemulihan ekonomi.

Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini mengumumkan ekonomi mencatatkan penguncupan kecil sebanyak 2.7 peratus pada Suku Ketiga 2020 berbanding penurunan dua angka sebanyak 17.1 peratus pada Suku Kedua.

Pada masa depan, katanya, PKP Bersyarat yang dikuatkuasakan di seluruh Lembah Klang sejak 14 Oktober dan dilanjutkan sehingga 6 Disember ke serata Semenanjung Malaysia kecuali di beberapa negeri kemungkinan besar akan memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK pada Suku Keempat 2020.

Ini dijangka memberi kesan kepada permintaan pengguna terutamanya dalam sektor peruncitan, makanan dan minuman, penginapan dan hospitaliti, serta pengangkutan.

Bagaimanapun beliau berkata, langkah-langkah di bawah Penjana dan Kita Prihatin seperti Subsidi Upah, Insentif Pengambilan dan Peningkatan Kemahiran Pekerja dan banyak lagi akan berterusan sehingga hujung 2020, dan dijangka mengurangkan impak daripada pelbagai jenis PKP, manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta PKS-mikro juga akan diberi sokongan padu.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan kekal menumpukan kepada Strategi 6R iaitu ‘Resolve’, ‘Resilience’, ‘Restart’, ‘Recovery’, ‘Revitalise’ dan ‘Reform’ untuk memulihkan ekonomi terutamanya ketika kita berada hampir di ambang 2021.

Artikel Berkaitan:

“Kunci kepada pemulihan ini adalah Belanjawan 2021 yang baru dibentangkan, yang mengandungi langkah-langkah komprehensif untuk memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi,” katanya.

Menurutnya, unjuran peningkatan permintaan global, persekitaran kadar faedah yang lebih rendah, peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta, serta pelbagai dasar kerajaan akan menyokong pencapaian matlamat ini. - Bernama