PKPB Labuan dilanjutkan hingga 6 Disember

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Labuan yang sepatutnya tamat hari ini, dilanjutkan lagi bermula esok sehingga 6 Disember ini. - Foto Bernama
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Labuan yang sepatutnya tamat hari ini, dilanjutkan lagi bermula esok sehingga 6 Disember ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Labuan yang sepatutnya tamat hari ini, dilanjutkan lagi bermula esok sehingga 6 Disember ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana masih terdapat pertambahan 35 kes baharu koronavirus (Covid-19) setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Labuan adalah 1,135 kes.

“PKPB ini perlu dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19 serta memberikan ruang kepada petugas kesihatan untuk melaksanakan pengesanan kes secara aktif di kawasan bersasar yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi," katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPB di Labuan bermula 17 Oktober hingga 30 Oktober, yang kemudiannya dilanjutkan lagi sehingga hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Haji Baki, Kuching ditamatkan hari ini, lebih awal dari yang dijadualkan.

Katanya, ia berikutan kesemua keputusan ujian saringan makmal telah diperoleh semalam dan tiada lagi kes positif Covid-19 dikesan di kawasan itu sejak tujuh hari lepas.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Haji Baki bermula 28 Oktober hingga 10 November, sebelum dilanjutkan sehingga 24 November. - Bernama

Artikel Berkaitan: