Kepadatan, pergerakan penduduk faktor kes di Lembah Klang meningkat

Kepadatan penduduk di Lembah Klang dan pergerakan dari satu zon ke zon lain dalam negeri tersebut atau pergerakan merentas negeri, membimbangkan KKM. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Kepadatan penduduk di Lembah Klang dan pergerakan dari satu zon ke zon lain dalam negeri tersebut atau pergerakan merentas negeri, membimbangkan KKM. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jangkitan di tempat kerja, kepadatan dan pergerakan yang tinggi dalam komuniti, menyumbang kepada peningkatan 2.5 kali ganda kes baharu koronavirus (Covid-19) di Lembah Klang hari ini berbanding semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, keadaan penularan masih terkawal dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Lembah Klang sejak bulan lepas.

"Kalau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan seperti Mac lalu, ia akan menjejaskan ekonomi. Pelaksanaan PKPB ini dapat mengimbangi sektor ekonomi dan kesihatan setelah sektor sosial, sukan dan pendidikan dihadkan.

"Kepadatan penduduk di Lembah Klang dan pergerakan dari satu zon ke zon lain dalam negeri tersebut atau pergerakan merentas negeri, membimbangkan KKM," katanya pada sidang media harian di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.

Susulan itu beliau menasihatkan penduduk di Lembah Klang agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan sepanjang tempoh PKPB ketika ini bagi mengekang penularan dalam komuniti.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, peningkatan kes di Lembah Klang turut berpunca daripada jangkitan di tempat kerja dan mencadangkan kepada majikan agar ujian saringan Covid-19 dijalankan secara berkala dan bukannya sekali sahaja.

Beliau menjelaskan walaupun pengimbas suhu badan disediakan di tempat kerja namun masih terdapat kes tidak bergejala telah dikesan.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham menafikan KKM menggunakan aplikasi MySejahtera untuk menjejaki 400 penduduk yang dikatakan lari dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi dekat sini.

Artikel Berkaitan:

“Tidak benar KKM guna MySejahtera untuk menjejaki mereka. MySejahtera digunakan kalau ada kes positif di sesuatu kawasan. KKM akan dapatkan data untuk bantu menjalankan pengesanan aktif,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan semasa kluster Sri Petaling, KKM menggunakan bantuan polis untuk mengesan kontak rapat dan tidak melalui aplikasi MySejahtera.

Katanya aplikasi MySejahtera hanya digunakan untuk pengesanan aktif dan KKM akan menyimpan kerahsiaan maklumat peribadi pengguna. - Bernama

Sidang media oleh Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia berkenaan perkembangan terkini Covid-19 di Malaysia.

Posted by Sinar Harian on Friday, November 13, 2020