Mayat reput dalam pacuan empat roda

Mayat lelaki berusia 31 tahun dipercayai meninggal dunia hampir tiga minggu lalu ditemukan dalam sebuah pacuan empat roda di ladang kelapa sawit Kampung Cherang Nibong, Hulu Terengganu.
Mayat lelaki berusia 31 tahun dipercayai meninggal dunia hampir tiga minggu lalu ditemukan dalam sebuah pacuan empat roda di ladang kelapa sawit Kampung Cherang Nibong, Hulu Terengganu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Mayat seorang lelaki yang sudah reput ditemui dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di ladang kelapa sawit di Kampung Cherang Nibong, Ajil, di sini.

Mayat lelaki berusia 31 tahun itu ditemukan berada di tempat duduk pemandu kenderaan jenis Nissan Navara oleh orang awam pada jam 4 petang tadi sebelum menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihak polis menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 5 petang.

"Hasil siasatan awal pasukan polis di lokasi kejadian mendapati lelaki tersebut telah meninggal dunia dianggarkan hampir tiga minggu lalu.

"Sebelum ini kita ada menerima laporan oleh pemilik kenderaan mengenai sebuah kenderaan pacuan empat roda dilarikan tiga minggu lalu.

"Siasatan telah dijalankan dan hari ini kita telah menemui kenderaan tersebut di lokasi ini," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Adli berkata, kenderaan itu dipercayai dilarikan lelaki terbabit apabila pemiliknya membawa suspek untuk diserahkan kepada pihak polis kerana mendakwa terlibat aktiviti dadah.

"Kenderaan itu dilarikan ketika pengadu yang juga merupakan abang ipar suspek sedang membuat laporan di balai polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mayat lelaki yang berasal dari Kampung Tok Randok dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kes ini," katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Yusoff Mat Noh, 60 berkata, beliau pernah ternampak mangsa pada petang Selasa lalu dan menyangka lelaki berkenaan sedang berehat dalam kenderaan.

"Saya menghampiri kenderaan terbabit petang tadi selepas mendapati ia masih berada di lokasi sama hari ini.

"Sudah biasa kenderaan berhenti dalam ladang kelapa sawit ini sebab itulah saya anggap tiada apa-apa walaupun dah nampak mangsa petang Selasa lalu," katanya.