Tiada keperluan ketatkan SOP rentas negeri

Ismail Sabri ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prosedur operasi standard (SOP) pergerakan merentas negeri yang hanya membenarkan perjalanan bagi urusan bekerja dan hal-hal kecemasan, dilihat sudah memadai ketika ini.

Justeru, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, belum ada keperluan untuk mengetatkan SOP pergerakan rentas negeri yang berkuat kuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jelasnya, kebenaran rentas negeri hanya untuk mereka yang terpaksa hadir ke pejabat dan bagi mengurangkan pergerakan serta interaksi dalam kalangan masyarakat, selain arahan bekerja dari rumah telahpun berkuat kuasa mulai 22 Oktober lepas.

"Sektor awam kita dah kurangkan jumlah kehadiran petugas di pejabat, namun untuk sektor ekonomi dan industri, kita benarkan petugas rentas negeri untuk bekerja termasuk bahagian penghantaran produk mereka.

"Selagi masih berkuat kuasa kebenaran rentas negeri untuk urusan bekerja, selagi itu kita tidak boleh ketatkan SOP rentas negeri," katanya pada sidang media mengenai perlaksanaan PKP Pemulihan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Menteri Pertahanan itu sekali lagi mengingatkan semua rakyat yang merentas negeri untuk bekerja, supaya membawa surat kebenaran bekerja oleh majikan atau pas pekerja bersama mereka seperti yang diwajibkan.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyuarakan kebimbangan mengenai pergerakan keluar masuk 6 juta rakyat di Lembah Klang dan Negeri Sembilan yang boleh menyumbang kepada kenaikan kes dan penularan Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: KKM bimbang pergerakan 6 juta rakyat Lembah Klang, NS tidak dikawal

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ismail Sabri mengulangi pendirian kerajaan mengenai keputusan untuk tidak membenarkan pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) untuk beraksi di Piala AFC di Doha, Qatar.

Jelasnya, pasukan JDT telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan bersetuju untuk tidak menghantar pasukan mereka bagi menjaga keselamatan dan nyawa pemain serta pegawai sukan.

“Kalau seorang kena (positif Covid-19) tidak kira pemain ataupun bahagian teknikal, seluruh pasukan akan dikuarantin dan lebih menyusahkan JDT, jadi mereka faham dan tiada masalah untuk tidak menghantar.

“Ramai kata kenapa dibatalkan, sedangkan tidak ada kes kluster bola sepak. Sebenarnya di Tawau, seorang pengadil pertandingan bola sepak positif (Covid-19), seluruh pasukan kena (dijangkit) dan team itu pula membawa jangkitan kepada orang lain, jadi perkara ini dah berlaku,” katanya. - Bernama

Sidang media Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan PKPP.

Posted by Sinar Harian on Friday, November 13, 2020