Sambut Deepavali dengan meriah, ikut SOP: PM

Muhyiddin menyampaikan ucapan selamat menyambut Hari Deepavali di Bangunan Perdana Putra, hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin menyampaikan ucapan selamat menyambut Hari Deepavali di Bangunan Perdana Putra, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, penganut Hindu di negara ini tetap merayakan Deepavali yang akan disambut esok dengan meriah, walaupun dalam keadaan negara masih bergelut dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

Sambil menzahirkan ucapan Selamat Hari Deepavali, Perdana Menteri turut mengajak seluruh masyarakat Malaysia untuk bersama-sama menghormati dan menghargai kepelbagaian yang wujud dalam negara, dengan berkongsi kemeriahan perayaan Deepavali yang disambut oleh penganut agama Hindu di Malaysia.

"Rakyat Malaysia bertuah kerana negara kita terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Setiap kaum mempunyai budaya, tradisi dan adat resam masing-masing yang menjadi sumber kekuatan kita sebagai sebuah negara majmuk yang aman, harmoni dan bersatu padu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Deepavali 2020 yang disiarkan di laman Facebook rasminya hari ini.

Perdana Menteri turut menyeru rakyat Malaysia berbilang kaum agar berganding bahu menghadapi cabaran getir yang sedang dihadapi negara pada masa ini.

"Pelbagai cabaran getir yang sedang kita hadapi pada masa ini. Bersama-samalah kita berganding bahu, bersatu-padu dengan semangat yang cekal dan tabah untuk masa hadapan Malaysia yang lebih cerah buat kita semua," katanya.

Beliau juga menasihatkan supaya penganut Hindu yang meraikan pesta cahaya itu, agar mengelak daripada bersalaman atau berhimpun, dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal.

"Sambutan Deepavali tahun ini agak berbeza kerana ia berlangsung ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Kes-kes harian yang dicatatkan pada masa ini agak tinggi sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Peritah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) (di beberapa negeri) bagi mengawal dan mengekang penularan wabak ini di dalam komuniti kita," katanya.

Perdana Menteri juga berharap masyarakat beragama Hindu akan tetap meraikan perayaan Deepavali dengan meriah di rumah bersama anggota keluarga masing-masing dengan mematuhi segala garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan.

"Elakkan bersalaman ataupun berhimpun dan amalkanlah penjarakan fizikal untuk kita bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19," katanya. - Bernama