Undang-undang buruh perlu diperhalusi untuk pekerja ekonomi gig

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Terdapat keperluan kepada rang undang-undang yang rasmi dan kukuh untuk mempertahankan hak dan mata pencarian pekerja ekonomi gig.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, isu itu akan diberikan perhatian berikutan beberapa faktor termasuk kekurangan peruntukan di bawah undang-undang buruh selain untuk mengikut piawaian di seluruh dunia.

“Selalunya, masalahnya ialah pekerja ekonomi gig keliru antara menjadi seorang kontraktor atau seorang pekerja.

“Kita perlu memperhalusinya dari segi undang-undang supaya mereka yang berada dalam sektor ini tidak dieksploitasi oleh syarikat penaja ekonomi gig,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Beliau berpendapat membangkitkan isu ini dan mendapatkan maklum balas daripada pekerja industri dan mereka yang berkuasa dalam hal ini adalah suatu cabaran berikutan keadaan sektor ini yang terus berkembang.

Mengenai isu bahawa kerajaan tidak mempunyai pangkalan data yang lengkap melibatkan golongan belia yang terkesan dan kumpulan mudah terjejas untuk menyalurkan bantuan bersasar secara efektif dalam sektor ini, Wan Ahmad Fayhsal berkata, isu berkenaan perlu ditangani dengan kerjasama syarikat swasta.

“Benar, ini adalah dilema atau isu yang perlu kerajaan selesaikan dengan syarikat swasta yang lebih berkuasa dalam sektor ekonomi gig,” katanya.

Menurutnya, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini berkata walaupun kerajaan memberi peruntukan untuk membantu pekerja ekonomi gig menerusi PenjanaGig, iaitu platform ekonomi gig di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), hanya tujuh peratus (atau 21,000) penunggang dan pemandu e-panggilan yang telah berdaftar daripada 400,000 individu yang terlibat dalam sektor itu.

Artikel Berkaitan:

“Ini bererti masih terdapat ruang penambahbaikan dari segi pengurusan data melibatkan pekerja ekonomi gig...sekiranya kita mempunyai capaian lebih meluas, kita berupaya menambah baik peraturan dalam sektor ini,” katanya.

Untuk rekod, PenjanaGig ialah inisiatif bantuan oleh kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020 menerusi PENJANA untuk memastikan keselamatan sosial dan kebajikan golongan yang bekerja sendiri di bawah ekonomi gig.

Bantuan yang diberikan adalah dari segi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kerajaan membiayai 70 peratus bayaran caruman manakala baki 30 peratus oleh platform penyedia perkhidmatan atau pekerja sendiri melalui platform penyedia perkhidmatan mereka. Jumlah yang disumbangkan oleh kerajaan adalah antara RM163 hingga RM232.80. - Bernama