X

Kindly register in order to view this article
!

Pencemaran sungai: Lelaki jual bahan buangan berjadual ditahan

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor, ditahan dalam serbuan di Pusat Perindustrian Tengas, Ulu Yam, Hulu Selangor, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata suspek berusia 58 tahun itu ditahan kira-kira 6.30 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek telah menjual sisa bahan buangan berjadual yang dijumpai di Taman Venox kepada salah seorang suspek yang ditahan sebelum ini.

“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 19 November untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 10 November lepas, polis menahan empat individu termasuk seorang wanita berusia antara 33 dan 43 tahun di sekitar Lembah Klang, sebelum menyerbu sebuah premis di Taman Velox, Rawang dan menemukan 40 tong bahan buangan berjadual.

Siasatan awal polis mendapati ada bahan buangan berjadual dibuang melalui sistem kumbahan di dalam premis itu yang mengalir ke Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Taman Velox, terletak kira-kira 300 meter dari premis berkenaan.

Susulan pencemaran tersebut, Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 telah dihenti tugas menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!