Empat lelaki ditahan disyaki belasah penagih hingga mati

Anuar Othman
Anuar Othman
A
A
A

IPOH - Polis menahan empat lelaki yang disyaki membelasah seorang penagih dadah hingga mati selepas dipercayai cuba mencuri sebuah motosikal di Menglembu di sini, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, kesemua suspek berusia 22 hingga 26 tahun ditahan selepas penagih berusia 35 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian pihaknya menerima maklumat tangkapan lelaki oleh orang awam yang cuba mencuri motosikal milik salah seorang suspek di hadapan sebuah rumah pada jam 12.30 tengah malam.

"Setibanya anggota polis di lokasi kejadian, lelaki tersebut berada dalam keadaan lemah telah dibawa ke Balai Polis Menglembu sebelum dihantar ke HRPB.

"Dia yang dalam keadaan sedar mengalami kecederaan dan lebam pada muka dan badan akibat dipukul. Pihak hospital turut memaklumkan lelaki tersebut berada dalam pengaruh dadah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Anuar berkata, pihaknya turut menerima laporan daripada salah seorang suspek berhubung kejadian cubaan mencuri motosikalnya selain terdapat pergelutan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A/511 Kanun Keseksaan.

"Polis telah merakam percakapan lelaki tersebut setelah keadaannya stabil sebelum dia disahkan meninggal dunia pada jam 4.12 pagi.

"Pemeriksaan mendapati tanda-tanda kecederaan luaran si mati disebabkan oleh objek tumpul dan keras selain tumbukan tangan dan kaki. Bagaimanapun, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan radang selaput abdomen akibat kebocoran usus disertai trauma tumpul," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.