Pindaan lalu lintas di pusat perniagaan Kiara, Bahau mula Isnin

Pelan perubahan lalu lintas di Pusat perniagaan Kiara, Bahau. Gambar kiri: Raja Norazli
Pelan perubahan lalu lintas di Pusat perniagaan Kiara, Bahau. Gambar kiri: Raja Norazli
A
A
A

JEMPOL - Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) melalui kuasa yang diperuntukkan di bawah seksyen 5(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) membuat keputusan untuk meminda perubahan arah lalu lintas di Pusat Perniagaan Kiara, Bahau bermula Isnin ini.

Yang Dipetua MPJL, Raja Norazli Raja Nordin berkata, tujuan perubahan ini dilakukan adalah untuk meningkatkan kelancaran aliran trafik di kawasan tersebut setelah menerima pandangan serta cadangan daripada pengguna yang melalui kawasan tersebut.

"Perubahan ini melibatkan persimpangan di sebelah pam minyak Shell, dibuka untuk kenderaan dari arah Bahau masuk ke Pusat Perniagaan Kiara dan terus melalui Jalan Kiara 1 sahaja.

"Manakala kenderaan dari Jalan Kiara 1/2 (McDonalds) boleh keluar menghala ke Bahau sahaja," katanya dalam satu kenyataan,hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, persimpangan di hadapan Sekolah Kebangsaan St. Aidan menjadi persimpangan utama ke pusat perniagaan Kiara.

"Kenderaan akan melalui Jalan Kiara 4 yang merupakan jalan dua hala dan bersambung dengan sebahagian laluan di Jalan Kiara 2 yang dipinda menjadi dua hala sehingga di simpang Jalan Kiara 2/1.

"Lain-lain jalan dalam pusat perniagaan Kiara adalah seperti ketetapan sebelum ini tanpa sebarang pindaan.

"Sebarang bantahan atau penambahbaikan boleh dikemukakan secara bersurat atau emel kepada Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Jempol, untuk pertanyaan lanjut boleh hubungi talian berikut; 06-4581233 / 06-4540167," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, MPJL melakukan perubahan arah lalu lintas di pusat perniagaan Kiara dan Taman Meranti bagi memastikan kelancaran aliran trafik di kedua-dua lokasi tersebut.

Bagaimanapun perubahan ini akan melalui fasa percubaan selama sebulan mulai 1 sehingga 30 November ini.