Terima kasih frontliners, kes Covid-19 di Sabah mula terkawal

Hajiji menerima sumbangan berupa barangan perubatan daripada Kumpulan Hap Seng kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Covid-19 di PPNS, Kota Kinabalu.
Hajiji menerima sumbangan berupa barangan perubatan daripada Kumpulan Hap Seng kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Covid-19 di PPNS, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah menzahirkan penghargaan atas pengorbanan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di semua peringkat yang bekerja keras memerangi pandemik koronavirus (Covid-19) di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, kementerian kesihatan di bawah pimpinan Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah melakukan yang terbaik untuk menangani Covid-19 khususnya di Sabah.

"Saya gembira apabila mendapati kes Covid-19 di Sabah mula terkawal berdasarkan penurunan kes yang diumumkan oleh Tan Sri Dr Noor Hisham semalam dan ada daerah di Sabah mula beralih kepada zon hijau," katanya di Pusat Pentadbiran Negeri (PPNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima bantuan alat bantuan pernafasan, mesin x-ray mudah alih, pelitup muka dan sumbangan kewangan daripada Kumpulan Hap Seng kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Covid-19 untuk membantu memerangi Covid-19.

Semalam, Noor Hisham memaklumkan kes di Sabah dilihat semakin terkawal dan dalam minggu ini terdapat satu daerah mula beralih kepada zon hijau.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan kes di Sabah kini stabil dan keadaan sekarang adalah terkawal.

Sabah mula mencatat kes positif di bawah 500 kes sejak Isnin lalu iaitu 370 kes, diikuti 397 kes pada Selasa, 259 kes Rabu dan semalam 319 kes dilaporkan.

Terdahulu, hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dan Pengarah Kumpulan Hap Seng, Datuk Simon Shim.

Artikel Berkaitan: