Dua lelaki cedera langgar tapir melintas jalan

Keadaan motosikal jenis Yamaha 125Z yang berlanggar dengan tapir yang melintas jalan di Jalan Batang Rokan, Gemencheh malam tadi.
Keadaan motosikal jenis Yamaha 125Z yang berlanggar dengan tapir yang melintas jalan di Jalan Batang Rokan, Gemencheh malam tadi.
A
A
A

TAMPIN - Dua lelaki masing-masing merupakan penunggang dan pembonceng sebuah motosikal mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan dan kaki selepas melanggar seekor tapir di jalan Batang Rokan, berhampiran Sekolah Memandu Safe Monitoring Academy Sdn Bhd, Gemencheh di sini malam tadi.

Ketua Polis daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, kejadian berlaku pada lebih kurang jam 8.30 malam ketika mangsa berusia 19 dan 18 tahun itu melalui lokasi kejadian.

"Mereka dalam perjalanan dari Felda Bukit Rokan hendak ke Pekan Gemencheh, bagaimanapun semasa melalui jalan tersebut, tiba-tiba seekor tapir melintas.

"Mangsa tidak sempat mengelak dan membrek lalu melanggar tapir berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tapir yang tiba-tiba melintas jalan mati akibat dilanggar motosikal di Jalan Batang Rokan, Gemencheh malam tadi.
Tapir yang tiba-tiba melintas jalan mati akibat dilanggar motosikal di Jalan Batang Rokan, Gemencheh malam tadi.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, tapir berkenaan mati, manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan luka di bahagian kepala dan pemboncengnya patah tangan dan paha kiri.

"Mereka telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah untuk rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: