Kuasa solar, janakuasa bergerak tangani masalah elektrik di Sabah

Bung Moktar Radin
Bung Moktar Radin
A
A
A

KOTA KINABALU - Isu kekurangan bekalan elektrik akan ditangani dengan pemasangan kuasa solar dan janakuasa bergerak dengan keupayaan menjana sehingga 300 megawatt (Mw) tenaga di pantai timur Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, projek itu telah dipersetujui oleh kerajaan Pusat dan ia adalah langkah sementara menunggu penyedia tenaga bebas (IPP) berkapasiti 1,000 Mw dibina.

Katanya, projek menelan kos sehingga berbilion ringgit itu akan dilaksanakan dalam tempoh setahun setengah untuk memastikan pengguna di kawasan pantai timur terutama di Sandakan dan Tawau tidak lagi berdepan gangguan bekalan elektrik.

"Memandangkan banyak masalah berkaitan bekalan elektrik di kawasan pantai timur, kita berbincang dengan kerajaan Pusat bagaimana untuk menangani isu ini dan mereka bersetuju untuk memberikan 300 Mw melalui janakuasa bergerak dan solar," katanya pada sidang akhbar berkaitan isu bekalan elektrik Sabah, di sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, usaha meningkatkan keupayaan grid tenaga yang menghubungkan pantai barat dan pantai timur Sabah, selain Kudat juga akan diteruskan.

Mengulas berhubung Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), pihaknya turut berbincang dengan kerajaan Persekutuan untuk membuat rombakan besar-besaran terhadap syarikat bekalan elektrik itu sebelum diambil alih kerajaan negeri.

"Saya berbincang dengan kementerian di Persekutuan untuk menstruktur semula SESB, kita akan rombak secara besar-besaran untuk memastikan kita berdaya saing dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Tambah beliau lagi, anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu perlu dipulihkan terlebih dahulu memandangkan ia berdepan banyak masalah termasuk beban hutang dan mengalami kerugian.

Artikel Berkaitan:

"Banyak masalah dan isu yang perlu kita atasi. SESB diberi tanggungjawab untuk membekalkan elektrik di Sabah tetapi ia mengalami kerugian demi kerugian, sudahlah mengalami kerugian, bekalan elektrik sering terputus.

"Sebab itu kita juga bincang untuk menstruktur semula SESB supaya ia boleh berdaya saing. Apabila SESB sudah boleh bangun barulah kita ambil alih daripada Pusat dan mengurusnya sendiri," katanya.

Terdahulu, ketika di bawah pemerintahan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan), isu pengambilalihan SESB daripada TNB dilaporkan sudah mencapai peringkat akhir sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri.