Seorang lagi lelaki Rohingya didakwa rogol remaja bawah umur

Seorang lagi tertuduh, Mohammed Karim dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang semalam, atas tuduhan merogol seorang remaja berusia 15 tahun.
Seorang lagi tertuduh, Mohammed Karim dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang semalam, atas tuduhan merogol seorang remaja berusia 15 tahun.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lagi lelaki Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan tempatan berumur 15 tahun, bulan lepas.

Mohammad Hassan Mohammad Rafik, 24, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang juga kenalannya di sebuah rumah di Ampang, pada 10 malam, 30 Oktober lalu, mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras.

Tertuduh yang diwakili peguam T Harpal Singh berkata, anak guamnya adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan beliau memohon Mohammad Hassan dibenar diikat jamin kerana tuduhan hari ini adalah yang pertama dihadapinya.

Suzana tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Semalam, di mahkamah Ampang, dua rakannya Mohammed Karim Mohammad, 20, dan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol remaja itu di Pandan Indah di sini, pada September, Ogos dan Oktober lalu.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi rakan mereka yang berdepan pertuduhan sama akan didakwa pada 28 Disember ini. - Bernama