AADK Besut bantu keluarga pelatih hilang mata pencarian

Noor Hafizza (tengah) bersama wakil JKM ketika melawat keluarga itu yang tinggal di sebuah kediaman PPRT di Kampung Kerandang, Jabi, Besut semalam. - FOTO: Ihsan AADK Besut
Noor Hafizza (tengah) bersama wakil JKM ketika melawat keluarga itu yang tinggal di sebuah kediaman PPRT di Kampung Kerandang, Jabi, Besut semalam. - FOTO: Ihsan AADK Besut
A
A
A

BESUT – Kesulitan dialami seorang isteri yang hilang mata pencarian setelah suaminya dimasukkan ke pusat pemulihan dadah mendapat perhatian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Besut.

Difahamkan wanita berusia 45 tahun yang tinggal di Kampung Kerandang, Jabi, di sini turut mengalami penyakit kencing manis sekali gus membataskan kudratnya untuk mencari rezeki bagi menampung keluarga.

Ketua Pegawai AADK Besut, Noor Hafizza Mat Zin berkata, wanita itu terpaksa bergantung harap kepada anak sulungnya yang berusia 18 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan harian sebanyak RM20.

“Kita mendapat maklumat keluarga seorang pelatih yang sedang menjalani pemulihan di Klinik Cure & Care (C&C) Bukit Mertajam, Pulau Pinang sejak awal tahun lalu mengalami kesulitan selepas beliau dimasukkan ke pusat tersebut.

“Isteri kepada pelatih itu kini tinggal bersama lima orang anak yang berusia 8 hingga 18 tahun di sebuah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Tiga daripada anaknya masih bersekolah iaitu yang berusia 8, 10 dan 13 tahun manakala seorang lagi yang berusia 16 tahun tidak dapat bersekolah akibat kesempitan hidup,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Noor Hafizza (dua dari kiri) bersama keluarga terbabit yang tinggal di sebuah kediaman PPRT di Kampung Kerandang, Jabi, Besut. - FOTO: Ihsan AADK Besut
Noor Hafizza (dua dari kiri) bersama keluarga terbabit yang tinggal di sebuah kediaman PPRT di Kampung Kerandang, Jabi, Besut. - FOTO: Ihsan AADK Besut

Difahamkan pelatih berkenaan yang sebelum ini bekerja sebagai buruh bagi menyara keluarga pertama kali dimasukkan ke pusat pemulihan itu dan dijangka tamat tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

AADK bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah ke rumah keluarga itu semalam bagi menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian.

“Bagi meringankan bebanan keluarga ini, pihak AADK telah mengesyorkan supaya pihak JKM dapat menyalurkan bantuan RM400 sebulan kepada keluarga ini sehingga ketua keluarga ini tamat menjalani program pemulihan.

"Semoga usaha ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga ini, tambahan pula kita masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya.