Ahli Parlimen Bintulu perlu berjiwa besar, minta maaf kepada DG

Shabudin (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan peralatan perniagaan kepada salah seorang penerima di Tasek Gelugor hari ini.
Shabudin (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan peralatan perniagaan kepada salah seorang penerima di Tasek Gelugor hari ini.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Ahli Parlimen diingatkan agar lebih beretika dan menjaga tutur kata ketika berbahas sepanjang persidangan Dewan Rakyat berlangsung.

Ia termasuk mematuhi semua peraturan mesyuarat yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran dan proses undang-undang dijalankan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Shabudin Yahaya berkata, polemik mengenai kenyataan ahli Parlimen yang dikatakan menghina penjawat awam perlu dihentikan segera dan individu terbabit perlu berjiwa besar dengan membuat permohonan maaf atas keterlanjurannya.

Beliau berpendapat perkara itu tidak wajar berlaku apabila ahli Parlimen terbabit mengeluarkan kata-kata sinis apatah lagi mencaci penjawat awam yang telah menjalankan tugas dengan sebaiknya.

"Dalam peraturan mesyuarat secara jelas menyatakan tidak boleh mengungkapkan apa-apa perkataan yang boleh menyakiti mana-mana pihak.

"Kita faham secara 'common sense' apa yang ingin disampaikan oleh ahli Parlimen itu malah rakyat juga dapat menilai perilaku dan tabiat individu terbabit, jadi untuk redakan keadaan beliau perlu meminta maaf kepada penjawat awam berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menyampaikan bantuan peralatan perniagaan dan pertanian kepada usahawan serta petani yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ketegangan yang berlaku di dalam Dewan Rakyat apabila Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) membangkitkan isu Ketua Pengarah Kesihatan (DG) tidak turun ke Sabah ketika pandemik Covid-19 melanda.

Artikel Berkaitan:

King Sing sebelum ini membangkitkan isu mengenai Ketua Pengarah Kesihatan yang tidak turun padang dan hanya membuat sidang akhbar harian untuk mendapatkan publisiti.

Beliau berkata, adakah Ketua Pengarah dan Timbalannya tidak mahu turun padang ke Sabah kawasan yang paling tinggi kes Covid-19 kerana takut mati.

Mengulas mengenai perkara itu, Shabudin berkata, sekarang bukan masanya untuk menuding jari atau mencari salah sesiapa sedangkan semua pihak kini sedang berusaha melawan bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Katanya, beliau sendiri terlibat dalam mesyuarat harian bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai agensi kerajaan lain dalam memastikan rakyat terlindung daripada pandemik ini.

Tambahnya, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) juga dilihat memainkan peranan dengan membantu kerajaan dalam bidang masing-masing.

"Semua pihak telah menjalankan tugas dan peranan masing-masing jadi saya harap ahli Parlimen selepas ini mengeluarkan kenyataan lebih berhati-hati kerana pada hakikatnya semua kini sedang berusaha memutuskan rantaian Covid-19," katanya.