X

Kindly register in order to view this article
!

Agong berkenan dengar taklimat persediaan hadapi banjir di Pahang

Al Sultan Abdullah berkenan mendengar Taklimat Persediaan Menghadapi Banjir Tahun 2020/2021 di bilik mesyuarat Istana Abdulaziz, Kuantan hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mendengar Taklimat Persediaan Menghadapi Banjir Tahun 2020/2021 yang berlangsung di bilik mesyuarat Istana Abdulaziz, di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Tengku Panglima, Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah.

Taklimat yang bermula pada jam 10.30 pagi berlangsung selama hampir sejam itu disampaikan oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Al-Sultan Abdullah pada akhir sesi taklimat itu menitahkan supaya aspek normal baharu dan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 menjadi keutamaan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di negeri ini.

Selain itu, semua masjid di Pahang juga dititahkan untuk melaksanakan solat hajat dari masa ke masa bagi memohon dijauhkan daripada perkara yang tidak diingini dan supaya Pahang sentiasa dijauhkan daripada musibah.

Selain itu, Seri Paduka Baginda juga menzahirkan keyakinan terhadap pentadbiran negeri untuk membuat persediaan menghadapi banjir dan mengingatkan semua pihak berkaitan supaya bersama-sama memikul tanggungjawab meringankan kesusahan rakyat semasa musim tengkujuh.

Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang seterusnya menzahirkan ucapan terima kasih kepada pentadbiran negeri termasuk agensi berkaitan kerana telah membuat persediaan lengkap dengan data terkini dalam taklimat tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan pengarah jabatan negeri berkaitan iaitu Kesihatan, Datuk Dr Bahari Awang Ngah, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria (Majlis Keselamatan Negeri) dan Zulkhairi Zainol Abidin (Jabatan Kebajikan Masyarakat).

Hadir sama ialah Mohd Noor Bidin (Jabatan Pengairan dan Saliran), Khairul Najib Ibrahim (Jabatan Meteorologi) dan Mejar (PA) Mohd Zairosnizam Mohd Tarmizi (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia). - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!