Jadikan konsep pendapatan selesa sebagai kayu ukur baharu

NOOR AZLAN
NOOR AZLAN
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan menjadikan konsep pendapatan selesa sebagai kayu ukur baharu untuk menentukan taraf hidup isi rumah di negara ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, konsep pendapatan selesa itu mengambil kira dua faktor iaitu lokasi tempat tinggal dan saiz keluarga.

Katanya, ia sekali gus akan mengubah konsep pengelasan pendapatan isi rumah sedia ada yang sekarang dipecahkan kepada B40, M40 dan T20.

"Saya cadangkan kita tukar konsep iaitu daripada B40, M40 kepada penggajian atau pendapatan yang selesa.

"Ini kaedah baharu dan bagi saya sasaran terbaik adalah semua rakyat Malaysia seharusnya mencapai tahap pendapatan selesa," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Siri 208 bertajuk 'Pasca Bajet 2021: B40 lega, M40 derita?' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian malam tadi.

Wacana itu turut membariskan dua lagi panelis iaitu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pakar Pelaburan Hartanah dan Kewangan, Faizul Ridzuan sementara personaliti televisyen, Ismail Adnan selaku moderator.

Dr Noor Azlan berkata, cadangan itu disuarakan beliau kerana pengelasan isi rumah sekarang hanya menimbulkan kekeliruan dan tidak memberi implikasi dari sudut polisi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan juga sebelum ini tidak pernah membuat perkiraan tentang pendapatan selesa dengan rapi.

"Apa yang dikatakan (pendapatan) selesa di Kuala Lumpur, Alor Setar, Jerantut dan Sarawak. Jadi ini kaedah-kaedah perekonomian yang baharu iaitu kita target kepada kumpulan yang betul," katanya.

Katanya, jika selesa menjadi ukuran, kategori isi rumah miskin itu jatuh jauh ke bawah manakala B40 itu pula adalah kategori pendapatan rendah.

"Contohnya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ada buat ukuran misalnya kalau keluarga ini tinggal di Kuala Lumpur dan mempunyai dua anak, pendapatan yang dikatakan selesa adalah RM6,200.

"Kita sekarang keliru kerana guna satu garisan linear, contohnya pendapatan RM4,850 ditetapkan bagi isi rumah M40 untuk seluruh Malaysia sedangkan pendapatan RM4,850 di Kuala Lumpur itu adalah sengsara," katanya.

Tambah beliau, ekoran bersandar kepada pendapatan miskin seperti konsep sekarang, tahap gaji minumum negara masih lagi rendah.

"Kalau kita jadikan pendapatan selesa sebagai ukuran, mungkin gaji minimum akan lebih tinggi.

"Saya bersetuju kerajaan perlu membantu rakyat tetapi saya ingin lihat kerajaan membantu dengan cara betul dan menyelesaikan masalah dengan sebaiknya," katanya.