X

Kindly register in order to view this article
!

Pusat Aktiviti Warga Emas akan diwujudkan di setiap Parlimen

Rina. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Pusat Aktiviti Warga Emas akan diwujudkan di setiap kawasan Parlimen di negara ini bagi memastikan keperluan golongan itu terpelihara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, setakat ini terdapat sebanyak 150 Pusat Aktiviti Warga Emas di seluruh negara.

“Kita akan perluaskan lagi pusat ini ke setiap Parlimen kerana seperti sedia maklum pada tahun 2030 negara kita terdiri daripada 15 peratus warga tua,” katanya pada sidang akhbar khas di kementeriannya di sini semalam.

Rina berkata, peruntukan dalam Belanjawan 2021 bagi pusat itu juga dinaikkan kepada RM50,000 setahun berbanding RM33,000 sebelum ini.

“Perlu kita buat persediaan dan kita mulakan dengan pusat aktiviti warga emas yang ada sekarang,” katanya.

Menurutnya, bagi menggalakkan lebih ramai lagi sukarelawan, elaun bagi golongan tersebut turut dinaikkan.

“Elaun kepada sukarelawan Program Khidmat Bantu Di Rumah diberikan sebanyak RM400 dengan empat orang klien yang perlu dijaga,” katanya.

Rina berkata, kebiasaannya klien sukarelawan program itu terdiri daripada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) terlantar.

“Jadi mereka akan mengunjungi rumah klien setiap minggu dengan membawa sedikit buah tangan atau barangan keperluan,” katanya.

Menurutnya, ikatan antara sukarelawan dan klien dapat dilihat dalam sesi lawatan tersebut.

“Mungkin mereka kesunyian dan perlukan seseorang untuk meluahkan dan bercakap. Ini yang sukarelawan kita lakukan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!