KPWKM beri perhatian kepada golongan sasar

Rina
Rina
A
A
A

PUTRAJAYA - Peruntukan sebanyak RM2.584 bilion yang diberikan kepada Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Belanjawan 2021 akan memberi perhatian kepada rakyat Malaysia khususnya golongan sasar.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi beberapa inisiatif yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada minggu lepas.

"Dengan mengambil kira kenaikan kos sara hidup, kadar pendapatan dan garis kemiskinan yang baharu, peningkatan peruntukan kepada golongan sasar, ini sangat membantu bebanan kewangan golongan tersebut," katanya pada sidang akhbar khas di kementeriannya di sini semalam.

Rina berkata, antara yang menerima manfaat peningkatan peruntukan ialah bantuan penjagaan orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik terlantar.

"Kadar sedia ada ialah RM350 dan telah dinaikkan kepada RM500," katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu dijangka akan memberi manfaat kepada seramai 27,753 penerima sedia ada.

"Cadangan keperluan tambahan untuk tahun 2021 yang kita jangkakan juga akan ada penambahan bagi mereka yang layak memohon dan diluluskan," katanya.

Sementara itu, Rina berkata, bantuan kanak-kanak yang sebelum ini ditetapkan sebanyak RM100 seorang dengan kadar maksimum RM450 bagi satu keluarga juga dinaikkan.

Artikel Berkaitan:

"Kini, ia telah dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 seorang sekiranya kanak-kanak itu berumur enam tahun dan ke bawah.

"Ia akan bertambah kepada RM250 sekiranya kanak-kanak ini berumur tujuh hingga 18 tahun.

"Kadar maksimum bagi satu keluarga juga telah meningkat daripada RM460 kepada RM1,000 setiap bulan," katanya.

Menurutnya, Bantuan Am Persekutuan turut dinaikkan kepada RM350 sebulan berbanding sedia ada sebanyak RM100.

"OKU tidak berupaya untuk berkerja turut menerima tempias apabila bantuan mereka dinaikkan daripada RM250 kepada RM300," katanya.

Beliau berkata, pekerja cacat juga diberi peningkatan elaun sebanyak RM50 iaitu daripada RM400 kepada RM450.

"Ini antara inisiatif kerajaan yang telah diumumkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada pembentangan Belanjawan 2021 pada minggu lalu," katanya.

Selain itu, Rina berkata, bantuan OKU yang tidak berupaya untuk bekerja turut dinaikkan RM50.

"Kadar sedia ada iaitu RM250 meningkat menjadi RM300," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga memberi perhatian terhadap pelepasan cukai bagi pasangan OKU.

"Jika sebelum ini pelepasan cukai adalah RM3,500 tetapi untuk tahun 2021 ia dinaikkan kepada RM5,000," katanya.

Tambahnya, beberapa inisiatif untuk golongan wanita turut diberi perhatian oleh kerajaan di bawah KPWKM dan kementerian lain.

"Saya kira kementerian ini diperlukan untuk menyelaras program yang telah atau akan dijalankan oleh kementerian lain.

"Sebagai contoh, kita ada sebanyak RM95 juta pembiayaan mikro kredit khas melalui Tekun Nasional, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Agrobank dan sebagainya.

"Sebanyak RM10 juta juga diperuntukkan untuk menangani kanser serviks bagi ujian mamogram dan RM20 juta peruntukan diberikan kepada pusat komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) serta pusat jagaan kanak-kanak," katanya.