DUN Sarawak luluskan RUU turunkan umur kelayakan ahli DUN

Abdul Karim - Foto Bernama
Abdul Karim - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Perkara 16 Perlembagaan Negeri untuk menurunkan usia minimum kelayakan menjadi seorang wakil yang dipilih, daripada 21 ke 18 tahun.

RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2020, yang dibentangkan Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, telah diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga dengan hanya sembilan Ahli Dewan menolak.

Beliau pada mulanya telah membentangkan RUU yang sama pada Selasa, namun Speaker DUN, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar memutuskan untuk menundanya, kerana terdapatnya anomali berkaitan penggubalan RUU tersebut dan anomali berkaitan tafsiran.

Mengumumkan penarikan balik RUU asal hari ini bagi membolehkan pembentangan yang baru, Abdul Karim berkata, ia dibuat bagi mengelakkan rakyat Sarawak dikelirukan oleh pihak pembangkang, mengenai tujuan dan objektif sebenar pindaan tersebut.

“Rang Undang-Undang ini yang kini saya bentangkan di Dewan ini akan mengelakkan kekaburan dalam tafsiran atau ketidakpastian kepada tujuan sebenar dan objektif kepada cadangan pindaan itu,” katanya ketika membentangkan RUU tersebut.

Abdul Karim berkata, pindaan itu akan menyelaraskan Perlembagaan Negeri dengan pindaan Perkara 47(b) dan Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, yang menurunkan hak kelayakan untuk pemilihan ke Dewan Rakyat dan untuk menjadi seorang pemilih atau pengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun.

“Perkara 16 Perlembagaan Negeri memenuhi peruntukan mandatori Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan kelayakan Ahli Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Untuk bahagian kedua Perkara 16 Perlembagaan Negeri, yang telah menjadi fokus perdebatan RUU itu, pindaan hanya akan melibatkan dua kategori orang yang layak dinyatakan sebagai ‘bermastautin di Negeri’.

Artikel Berkaitan:

Mereka adalah rakyat yang lahir di Negeri yang ibu bapa atau salah seorang daripada mereka juga lahir di Negeri dan biasanya tinggal di Negeri; atau rakyat, walaupun tidak lahir di Negeri, yang ibu bapa atau salah seorang daripada mereka lahir di Negeri dan biasanya tinggal di Negeri.

“Orang tanpa sebarang hubungan dengan orang Sarawak, sama ada menerusi kelahiran atau kelahiran ibu bapa mereka dan biasanya tidak tinggal di Sarawak akan hilang kelayakan,” tambah beliau lagi. - Bernama