Penduduk di Manjong dan Setapak bakal terima manfaat pembukaan CBP

Mohd Nor
Mohd Nor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Coop Bank Pertama (CBP) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi kewangan menerusi pembukaan cawangan ke- 28 di Manjong, Perak dan Setapak di sini pada awal bulan ini.

Pembukaan dua cawangan baharu itu antara strategi CBP untuk membawa perkhidmatan perbankan terus kepada penduduk di sekitar dua negeri itu selain menyediakan rangkaian perkhidmatan perbankan penuh seperti di bandar-bandar besar lain.

Presiden juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nor Abd Razak berkata, pembukaan dua cawangan itu adalah komitmen CBP kepada penduduk di kedua-dua daerah bagi menyediakan perkhidmatan perbankan sebagai satu strategi CBP dalam pasaran perkhidmatan kewangan yang semakin kompetitif.

Beliau berkata, CBP juga akan menumpukan kepada pelanggan baharu dan berkembang dalam penguasaan pasaran untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah institusi kewangan.

“CBP menunjukkan prestasi cemerlang pada 2019 memandangkan jumlah pembayaran dividen paling tinggi sejak lima tahun lalu dapat diberikan dan kejayaan ini dicapai hasil pengurusan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kata Mohd Nor, dalam keadaan dunia mendepani pandemik koronavirus (Covid-19), ia tidak menjadi halangan apabila CBP mengambil inisiatif dengan memanfaatkan teknologi untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan yang disediakan menerusi pelbagai aplikasi dalam talian.

Selain itu, katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kedua-dua cawangan baharu itu akan beroperasi seperti biasa pada jam 9 pagi hingga 5 petang.

“Pun begitu, operasi kedua-dua cawangan baharu itu dan termasuk semua cawangan CBP akan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta menjaga penjarakkan sosial dan lain-lain yang ditetapkan pihak kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Malah CBP muncul sebagai sebuah institusi menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk menawarkan produk kewangan patuh syariah dengan keistimewaan tersendiri,” katanya.

Co-opbank Pertama (CBP) yang dahulu dikenali sebagai Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Bhd kini tidak asing lagi dalam dunia koperasi.

Sepanjang 70 tahun beroperasi, CBP menempa pelbagai kejayaan dengan jumlah ahli kini melebihi 91,500 orang.

Organisasi yang dahulunya berperanan sebagai pertubuhan koperasi yang diasaskan di Kampung Pertama Permatang Pauh pada tahun 1950, kini menjadi antara institusi kewangan berdaya saing dalam memberi pelbagai perkhidmatan serta produk pembiayaan kepada orang ramai.