MAINJ perluas bantuan Covid-19

Tosrin
Tosrin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan memperluas bantuan untuk mereka yang terkesan akibat koronavirus (Covid-19).

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, pemohon perlu pergi ke pejabat MAINJ di daerah masing-masing sebelum mengisi borang khas permohonan bantuan Covid-19.

"Kita tambahkan lagi bantuan untuk mereka yang terjejas dengan pandemik Covid-19 termasuk yang hilang pekerjaan," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Turut hadir Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, Penasihat MAINJ, Datuk Noh Gadut, Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Datuk Md Rofiki Samsudin dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor, Muhammad Khaldun Mohamad Sharif.

Sementara itu, Muhammad Khaldun berkata, bagi operasi dan pengendalian perbicaraan kes-kes syariah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), operasi dan pengendalian kes syariah masih berjalan tetapi bersyarat.

Katanya, bagi pendaftaran kes baharu, pihak mahkamah akan mendengar kes-kes syariah yang mendesak dan perlu diberi perhatian segera serta kes-kes di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa seperti pemfailan notis rayuan dalam tempoh 14 hari.

Menurutnya, permohonan perlu dilakukan secara e-mel kepada Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah dan borang pendaftaran boleh didapati menerusi portal rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor https://syariah.johor.gov.my/muat-turun/.

Tambah beliau, bagi pendengaran kes-kes mal, jenayah dan faraid termasuk melibatkan prosiding rayuan akan dijadualkan semula dan semakan status kes boleh dibuat melalui portal e-syariah.

Artikel Berkaitan:

Pengurusan kes-kes jenayah syariah pula, beliau berkata, jika terdapat keperluan pendaftaran kes baharu, pegawai penguat kuasa perlu memaklumkan lebih awal kepada ketua pendaftar untuk tujuan persediaan mahkamah.

"Bagi kesalahan boleh dijamin, ketua pendaftar hendaklah memastikan urusan jaminan dapat diproses seperti biasa manakala bagi semua kes sulh adalah ditangguhkan," katanya.

Tosrin berkata, kaunter Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor akan beroperasi pada Ahad hingga Khamis dari jam 8 pagi hingga 1 petang dan 2 petang hingga 3 petang.