Jangan salahkan kerajaan Piala Malaysia batal

Kapten Terengganu FC, Lee Tuck (kiri) diasak pemain PJ City FC, Filemon Anyie Standly pada pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak Sabtu lalu. - Foto Bernama
Kapten Terengganu FC, Lee Tuck (kiri) diasak pemain PJ City FC, Filemon Anyie Standly pada pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak Sabtu lalu. - Foto Bernama
A
A
A

Para peminat bola sepak tanah air tidak harus menyalahkan kerajaan di sebalik keputusan penangguhan saingan TM Piala Malaysia sebelum ini, sekali gus membawa kepada pembatalan kejohanan berprestij tersebut.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu membuat keputusan tersebut demi menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat di negara ini.

“Kerajaan tidak boleh fikir mengenai bola sepak sahaja kerana banyak lagi industri yang turut tidak dapat beroperasi dalam waktu sekarang ini.

“Jadi, keputusan kerajaan itu menyeluruh dan bukannya untuk menganiayai bola sepak atau sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan MKN menolak rayuan rasmi yang dikemukakan MFL kerana berpandangan perlawanan bola sepak yang melibatkan sentuhan antara pemain mampu mengundang bahaya jangkitan Covid-19.

Jamal Nasir turut menjelaskan, penganjuran Piala Malaysia musim ini juga tidak memberikan keuntungan kepada pasukan memandangkan perlawanan berlangsung tanpa kehadiran penonton.

“Pihak kerajaan cuba untuk mengecilkan jumlah kes dan meningkatkan kembali ekonomi negara. Kalau main bola sepak waktu sekarang tanpa kehadiran penonton, tak jadi apa juga sebab tak ada sumber pendapatan.

“Apa yang disarankan pihak kerajaan, kita patut akur. MFL juga mungkin sudah boleh merancang penganjuran liga musim depan dalam mendepani ancaman pandemik Covid-19,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: