Deepavali disambut secara sederhana

Santhara menyampaikan sumbangan kepada penerima di Menara DBKL 1 hari ini.
Santhara menyampaikan sumbangan kepada penerima di Menara DBKL 1 hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perayaan Deepavali dalam normal baharu susulan penularan koronavirus (Covid-19) memaksa sambutannya diraikan secara sederhana.

Suri rumah, D Rajimarajo, 47, berkata, dia dan keluarga akur dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak membenarkan perjalanan rentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Rajimarajo
Rajimarajo

"Sepanjang 20 tahun duduk di Kuala Lumpur (KL), tahun ini adalah kali pertama sambutan Deepavali tidak disambut dengan meriah.

"Biasanya kami akan pulang ke Sungai Petani, Kedah beraya bersama ibu mentua tapi tahun ini di KL sahaja.

"Walaupun sedih namun kita kena akur sebab nak kawal Covid-19," katanya yang ditemui semasa menerima sumbangan bakul makanan dan sumbangan Deepavali secara pandu lalu di Menara DBKL 1 di sini hari ini.

Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar kepada 20 penerima yang menerima set keperluan makanan bernilai RM100 berserta sumbangan wang tunai sebanyak RM50 yang disumbangkan oleh KKMart.

Rajimarajo yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah berkata, tidak banyak persiapan yang dilakukan pada Deepavali kali ini selain akan melakukan upacara sembahyang di rumah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Santhara berkata, tiada program sambutan Deepavali skala besar dilaksanakan pada tahun ini bertepatan dengan situasi semasa Covid-19.

"Namun ia akan digantikan dengan program berbentuk bantuan kepada golongan miskin bandar dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Setiap program akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.