Sabah bangunkan SOP selaraskan bantuan

Masidi
Masidi
A
A
A

KOTA KINABALU - Badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, pemimpin masyarakat atau orang persendirian yang ingin menyampaikan sumbangan kini perlu memaklumkan kepada Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) untuk tujuan penyelarasan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak untuk menyampaikan sumbangan bagi membantu penduduk yang terjejas.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri telah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diselaraskan oleh Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran).

"Penyumbang yang berada di negeri ini hendaklah memaklumkan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) sekurang-kurangnya tiga hari sebelum penyampaian sumbangan atau bantuan.

"Bagi penyumbang dari luar Sabah, sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum penyampaian sumbangan atau bantuan selain wajib untuk mendapatkan kelulusan khas sebelum memasuki Sabah daripada Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas berhubung laporan kes koronavirus (Covid-19), Masidi berkata, Sabah mencatat sebanyak 319 kes positif baharu hari ini.

"Hari ini, terdapat satu kuster baharu di Kota Kinabalu iaitu Kluster Teluk mencatatkan sebanyak 30 kes berkaitan dengan pekerja tapak pembinaan di Teluk Likas," katanya.

Masidi turut memaklumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di Kampung Pengaraban, Kampung Tanjong Kapor dan Kampung Landung Ayang, Kudat dilanjutkan yang tamat esok akan dilanjutkan sehingga 13 November ini.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan telah melakukan sebanyak 14,906 saringan kepada penduduk di kawasan ini dan masih terdapat kes aktif di semua lokaliti ini iaitu Kampung Pengaraban (21 kes aktif), Kampung Tanjung Kapor (10) dan Kampung Landung Ayang (54).

"Pada masa sama, terdapat sejumlah besar sampel ujian saringan yang masih menunggu keputusan dan atas nasihat serta penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD untuk tempoh dua minggu lagi," katanya.

Terdahulu, Masidi memaklumkan Kota Kinabalu mencatat 84 kes, disusuli Tawau (48), Kudat (30), Tuaran (29), Semporna (26), Lahad Datu (23), Penampang (19), Sandakan (16), Papar (15), Putatan (11) dan Kota Belud (lima).

Sementara itu, Kuala Penyu, Kunak dan Beaufort masing-masing catat tiga kes, manakala empat lagi daerah iaitu Keningau, Beluran, Telupid dan Kota Marudu catat satu kes. - Bernama