Politik pandemik Covid-19

A
A
A

Melihat kesan pandemik koronavirus (Covid-19), ternyata ia bukan terbatas kepada kesihatan dan ekonomi sahaja, malah ia merentas kepada politik dunia antarabangsa.

Keputusan pengundi Amerika Syarikat (AS) yang memilih Joe Biden sebagai Presiden AS jelas terkait dengan pengurusan wabak Covid-19 yang gagal dibendung oleh Donald Trump.

Trump sangat ketara telah mempolitikkan Covid-19 sehingga mendedahkan rakyat AS kepada bahaya yang sangat tinggi.

Di seluruh dunia, Covid-19 memberi impak besar kepada kerajaan yang memerintah. Dari Eropah sehingga Amerika Latin, Rusia, China dan Timur Tengah serta Asia Timur, rakyat bangkit untuk menyatakan kemarahan mereka kerana ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang diambil pemimpin dalam mengendalikan Covid-19.

Di Brazil, Presiden Jair Bolsonaro dikritik kerana salah mengendalikan Covid-19. Beliau mengeluarkan kenyataan bahawa pandemik itu hanya fantasi. Akibatnya, 64 peratus warga Brazil menolaknya, manakala 44.8 peratus menyokong beliau dibicarakan.

Di Kanada, sidang Parlimen ditunda. Pemilihan kepimpinan parti politik ditangguh. Di China, beberapa pengurusan peringkat provinsi dipecat oleh Parti Komunis China kerana gagal mengurus kuarantin Covid-19 dengan betul.

Covid-19 turut memberi impak kepada perhubungan antarabangsa dan sistem politik pelbagai negara. Malah, ada urusan legislatif yang terpaksa digantung. Ada pemimpin negara dan ahli politik yang dikuarantin kerana positif Covid-19. Jadual pilihan raya juga terpaksa ditunda atau dibatalkan kerana dikhuatiri akan merebakkan Covid-19.

Covid-19 juga mencetuskan nasionalisme yang kuat dan ada negara yang mengalami peningkatan rasa cinta kepada negara. Di Itali misalnya, sokongan meningkat kepada 27 peratus.

Artikel Berkaitan:

Sekurang-kurangnya, sebanyak 84 negara telah mengisytiharkan darurat sebagai respon kepada Covid-19 yang mencetuskan kekhuatiran terhadap salah guna kuasa. Laporan Reporters Without Borders mendakwa, sebanyak 38 negara telah mengehadkan kebebasan media.

Ada yang menguatkuasakan larangan pergerakan secara selektif ke atas parti politik pembangkang, mengedar bantuan kepada penyokong politik dan meminggirkan minoriti serta golongan migran. Selain itu, banyak negara yang melancarkan program mengesan kes Covid-19 yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan warga awam.

Keresahan rakyat adalah apabila ada pemimpin dan ahli politik yang menggunakan alasan Covid-19 untuk meraih sokongan dan ada juga yang menggunakan krisis kesihatan untuk sengaja mengetepikan demokrasi dan Perlembagaan untuk kekal berkuasa.

Keputusan menyediakan belanjawan Covid-19, jika tidak dilakukan dengan teliti akan merosakkan negara. Sayangnya, perbahasan di Parlimen bukan untuk memastikan belanjawan diuruskan dengan berkesan tetapi hanya untuk berselindung di sebalik pernyataan angka, akan tetapi tidak dapat dipertahan dengan sandaran yang realistik.

Kerosakan yang bakal diterima apabila politik Covid-19 terlalu ditekankan adalah rakyat yang akan menderita dan terpaksa menanggung nasib akibat kerenah orang politik.

Wakil rakyat harus sedar bahawa amanah dan mandat rakyat untuk memastikan kepentingan rakyat didahulukan perlu dijunjung. Nampaknya, ia tidak dilakukan dengan sejujurnya.

Ahli politik bertelagah di Parlimen ketika pihak yang bertahan kuasa berhujah dengan seribu alasan untuk menidakkan kritikan dan bantahan.

Peperangan ke atas Covid-19 tidak mungkin dapat dimenangi jika krisis kesihatan dan ekonomi dijadikan bahan debat politik dengan tidak meletakkan penyelesaian sebagai tumpuan.

Belanjawan 2021 yang dijenama dengan Belanjawan Covid-19 hanya akan menjadi retorik jika ahli politik memikirkan kedudukan dan jawatan yang dijamin dengan pelbagai keistimewaan serta pendapatan lumayan.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu