Rusia mahu lancar tindak balas ke atas Jerman dan Perancis

Navalny percaya insiden beliau diracun didalangi oleh Putin, namun Kremlin menafikan sebarang penglibatan mereka. - Foto Agensi
Navalny percaya insiden beliau diracun didalangi oleh Putin, namun Kremlin menafikan sebarang penglibatan mereka. - Foto Agensi
A
A
A

MOSCOW - Rusia hari ini memaklumkan ia akan melakukan tindak balas dengan memperkenalkan sekatan ke atas pegawai Jerman dan Perancis berhubung insiden pemimpin pembangkang, Alexei Navalny diracun.

Keputusan itu dibuat selepas Kesatuan Eropah (EU) pada bulan lalu mengenakan siri sekatan ke atas beberapa pegawai di Moscow selepas mendakwa cubaan membunuh pengkritik lantang Presiden Vladimir Putin mungkin dilakukan dengan bantuan perkhidmatan keselamatan Kremlin.

"Berlin telah menjadi penyebab pegawai kanan di Moscow berdepan sekatan itu. Kami tidak akan berdiam diri dan mengambil langkah sama," ujar Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov.

Navalny, 44, didakwa jatuh pengsan ketika menaiki penerbangan pulang ke Rusia dan dipindahkan ke Jerman untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan beliau diracun dengan agen saraf yang dihasilkan ketika era Soviet, Novichok.

Menurut Lavrov, beliau juga percaya agen saraf tersebut mungkin memasuki sistem tubuh Navalny ketika beliau dipindahkan ke Hospital Charite di Berlin atau ketika berada di Jerman.

Jurucakap Navalny bagaimanapun menyifatkan dakwaan tanpa bukti itu adalah yang 'paling bodoh' pernah dilemparkan Moscow.

Minggu lalu, doktor yang merawat beliau sebelum diterbangkan ke Berlin menyatakan Navalny tidak diracun sebaliknya pemimpin pembangkang itu mengalami masalah metabolik dan pankreatitis.

Ketika ini, beliau masih berada di Jerman untuk menjalani rawatan susulan dan berikrar akan pulang ke Rusia apabila sudah pulih sepenuhnya. - AFP

Artikel Berkaitan: