X

Kindly register in order to view this article
!

Inkues Nora Anne: Bapa dengar bunyi kurang jelas di chalet

Nora Anne Quoirin
A
A

SEREMBAN - Bapa remaja Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa beliau terdengar bunyi yang kurang jelas di chalet mereka pada lewat malam hari keluarganya tiba di The Dusun Resort pada 3 Ogos 2019.

Sebastien Quoirin, 48, Eksekutif Jualan Teknologi di London bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat menggambarkan apa didengar kerana ketika itu separuh sedar setelah tertidur selepas melalui perjalanan 19 jam dari London ke Malaysia.

“Saya terus tidur dan beberapa jam (kemudian), setelah tiga atau empat jam tidur nyenyak, saya terbangun disebabkan bunyi dari luar yang saya percaya datang dari chalet berdekatan yang mungkin orang berparti.

"Kemudiannya saya terdengar bunyi yang sayup-sayup. Saya tidak dapat menggambarkan apa bunyi itu kerana saya berada dalam keadaan separa sedar,” katanya.

Sebastien, saksi ke-36 dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anak perempuannya itu di hadapan Koroner Maimoonah Aid.

Prosiding yang masuk hari ke-16 hari ini dijalankan melalui penstriman dalam talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Semasa ditanya peguamnya, Louise Azmi sama ada beliau tahu dari mana datangnya bunyi itu, ayah tiga anak itu berkata beliau merasakannya dekat, namun tidak dapat menjelaskan dengan tepat dari mana asalnya.

Menjelas lebih lanjut, Sebastien berkata, beliau bangun kira-kira 7 pagi keesokan harinya (4 Ogos) untuk memeriksa Nora Anne dan dua adik beradiknya Innes Julia, 13, dan Maurice Arthure, 9, tetapi kemudian menyedari bahawa anak perempuannya itu tiada di katil.

Dalam tiga jam prosiding itu, Sebastien juga menjelaskan bahawa semasa proses pengecaman mayat, kaki Nora Anne dilihat tidak cedera walaupun mereka diberitahu bahawa anak perempuannya bergerak di dalam hutan semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

"Saya diberitahu oleh Nik (ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, pegawai perhubungan kepada keluarga) mengenai mayat yang ditemui dalam jarak 2 kilometer dari resort. Kemungkinan besar adalah Nora. Beliau kemudian meminta saya memanggil Maebh (Jaseprine Quoirin) dan saya memanggilnya, kemudian memberitahu tentang penemuan itu.

“Selepas itu, pegawai polis datang ke chalet dan meminta kami mengenal pasti mayat dan pada waktu petang, mereka menemani kami ke hospital dan mengenal pasti mayat. Kami sebenarnya melakukan pengecaman ini dua kali untuk mengesahkan bahawa itu adalah Nora dan untuk memberi kebenaran kepada ahli patologi melakukan autopsi.

"Semasa kami membuat pengecaman, kami melihat kaki Nora dan dapati kaki Nora nampaknya tidak terlalu rosak, malah sama, hanya kotor.

“Saya memikirkan bagaimana ini berlaku kerana polis memberitahu kami bahawa Nora telah bergerak selama tujuh hari dan mereka tidak dapat menemuinya. Bagaimana mungkin dengan keadaan kaki Nora itu," katanya dan menambah bahawa spekulasi mengenai Nora Anne dapat membuka tingkap dan kemudian keluar bukanlah sifat anak perempuannya itu.

Prosiding kemudian bersambung pada 2.30 petang bagi mendengar keterangan saudara kandung Nora Anne, Innes dan Maurice sebagai saksi ke-37 dan ke-38.

Bagaimanapun Maimoonah memutuskan bahawa prosiding dijalankan secara tertutup, tanpa penstriman dalam talian.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di sini, kira-kira 60km di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos 2019, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5km dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

Prosiding itu bersambung 18 November ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!