Jangan guna kemudahan permainan di taman rekreasi: MBSP

Orang ramai dilarang menggunakan peralatan permainan di taman rekreasi di Seberang Perai kerana tidak disanitasi.
Orang ramai dilarang menggunakan peralatan permainan di taman rekreasi di Seberang Perai kerana tidak disanitasi.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Penduduk di kawasan Seberang Perai diingatkan tidak menggunakan peralatan senaman dan kemudahan permainan kanak-kanak di taman rekreasi awam di sini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, peringatan itu berikutan peralatan serta kemudahan berkenaan tidak disanitasi dan berisiko berlaku penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, MBSP sebelum ini ada memasang pita pelekat larangan penggunaan pada peralatan berkenaan, namun mendapati sudah ditanggalkan.

"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini, 16 taman rekreasi di Seberang Perai dibuka kepada orang ramai bermula jam 7 pagi hingga 7 petang.

"Saya menegaskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu dititik berat termasuk memastikan tiada sebarang aktiviti berkumpulan melebihi 10 individu, berkelah dan melakukan sebarang pertandingan yang melibatkan kehadiran orang ramai sehingga gagal melakukan penjarakkan fizikal," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MBSP di sini hari ini.

Rozali berkata, tidak semua daripada 16 taman rekreasi yang dibuka menempatkan anggota penguat kuasa yang memantau bagi pematuhan SOP.

"Justeru, kita mahu orang ramai berdisiplin bagi memastikan semua langkah dilakukan terutama mengimbas QR MySejahtera sebelum memasuki taman rekreasi, menggunakan cecair pembasmi kuman dan memakai pelitup muka bagi mereka yang tidak bersukan atau melakukan sebarang aktiviti di kawasan berkenaan.

"Kita tidak teragak-agak untuk menutup taman rekreasi yang didapati penggunanya tidak mematuhi SOP.

"Setakat ini hanya Taman Wawasan (Vision Park) dan Taman Ampang Jajar ditutup untuk kegunaan orang ramai," katanya.

Artikel Berkaitan: