[VIDEO] Kerajaan disaran ambil alih hutang agensi kredit pengusaha bas

Sathiv ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Kuantan di sini hari ini.
Sathiv ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Kuantan di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Pengusaha bas di negeri ini mencadangkan kepada kerajaan supaya mengambil alih hutang-hutang mereka dengan cara menaja jamin daripada agensi kredit kepada Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

Wakil Ahli Sekretariat Gabungan Bas Malaysia Negeri Pahang, S Sathiv berkata, itu antara inisiatif yang dicadangkan terhadap institusi perbankan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia dalam usaha membantu melayakkan pengusaha bas yang terjejas teruk mendapat manfaat moratorium.

Beliau berkata, sekiranya tidak dibantu secara serius, sebilangan besar daripada pengusaha bas boleh gulung tikar dan lebih ramai akan kehilangan pekerjaan.

"Di negeri Pahang, hampir 800 orang pengusaha bas berhutang dengan agensi kredit untuk membeli bas. Kami tidak ada moratorium. Meskipun kerajaan memberi subsidi upah, ia tidak mencukupi dan ramai pekerja terpaksa diberi cuti tanpa gaji.

"Sepatutnya dana untuk pembangunan pengangkutan awam ada, tetapi apabila kita membuat permohonan, mereka kata tidak ambil permohonan baharu. Dana itu hanya dikhaskan kepada peminjam sedia ada. Apa lagi yang kami ada? Sudah tiba masanya kerajaan kena ambil inisiatif untuk bantu kami," katanya pada sidang akhbar di hadapan Balai Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi ahli sekretariat persatuan terbabit, Mohd Mahfuz Shahir berkata, selain kerajaan Persekutuan, mereka turut meminta kerajaan negeri Pahang menerusi jawatankuasa pelancongan memanggil semua pengusaha bas untuk berbincang masalah mereka hadapi.

"Sejak Mac lalu. kami hanya menerima bantuan Bantuan Prihatin sebanyak RM600 kepada pemandu bas secara one-off daripada Kementerian Pengangkutan yang disalurkan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)," katanya.

Terdahulu, dilaporkan tunggakan hutang pengusaha bas seluruh negara kini mencecah RM3 bilion dengan RM200 juta daripadanya adalah hutang pengusaha bas daripada negeri Pahang yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan: