SKMM responsif tangani isu capaian internet

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 352,101 premis di negara ini akan diliputi dengan rangkaian Gigabit pada tahun ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, setakat 31 Oktober lalu, sebanyak 96.4 peratus sasaran telah berjaya dilaksanakan, manakala sebanyak 83.2 peratus alat pemancar sedia ada yang disasarkan pada 2020 telah dinaik taraf untuk meluas dan mempertingkat kualiti perkhidmatan 4G.

“Status sasaran lain akan dibentangkan dalam Laporan Suku Pertama Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) pada pertengahan Disember ini.

“SKMM sedar akan keperluan rakyat untuk mempunyai rangkaian internet yang stabil dan keadaan tersebut bertambah signifikan susulan penularan pandemik Covid-19.

“Justeru, SKMM bersedia menerima cadangan membina yang boleh dimanfaatkan untuk mempertingkatkan kualiti pengalaman terbaik kepada pengguna selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Belanjawan 2021,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan Jendela sedang dipantau rapi oleh Jawatankuasa Pelaksanaan Jendela yang bermesyuarat setiap dua minggu dan kepada Jawatankuasa Pemandu Jendela yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah setiap dua bulan.

“Perkara tersebut juga dilaporkan dan diangkat kepada Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri. Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Komunikasi Multi Media berlangsung setiap minggu,” jelasnya.

SKMM turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengambil pendekatan responsif dalam menangani isu kesalinghubungan di Sabah dan Sarawak serta kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia bagi merapatkan jurang digital antara sesebuah kawasan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebanyak 13 menara baharu akan didirikan di Pitas dan Kampung Mengkapon telah dikenal pasti sebagai salah satu lokasi untuk pembinaan sebuah menara telekomunikasi di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 1 dan ketika ini sedang menunggu kelulusan kerajaan negeri.

“Antaranya ialah menaik taraf rangkaian internet di pusat internet komuniti berhampiran dengan Kampung Sapatalang kepada sambungan gentian optik selaju 300 megabit sesaat (Mbps), sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat termasuk pelajar universiti, Veveonah Mosibin. Ini juga dilakukan dengan menaik taraf liputan kepada 4G dari 3G.

“Di Kampung Mengkapon pula, sebanyak 13 menara baharu akan didirikan di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 1 dan ketika ini sedang menunggu kelulusan pihak kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, di Kiulu pula katanya, tindakan memperluaskan liputan 4G sedang dilaksanakan di enam lokasi utama iaitu di Pukak, Lokub, Mantob, Kitapol, Kampung Sinorut dan Kampung Gonipis beserta dengan gentian optik ke setiap menara.

“Di Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau sebuah menara pemancar sementara didirikan bagi memberi liputan yang lebih baik di kawasan berkenaan," katanya.